Ifedayo Olusegun dilepaskan Selangor

Karsten tak mahu tumpukan usaha Ifedayo rebut Kasut Emas

Walaupun ketua jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel memuji kebangkitan anak-anak buahnya dalam pertemuan Liga Super menentang Sabah FC pada Ahad, dia enggan terlalu menumpukan perhatian terhadap usaha Ifedayo rebut kasut emas.

Dalam pertemuan minggu ke-21 yang berlangsung di Stadium Likas itu, pasukan pelawat membenam Sang Badak 6-0, hasil hatrik Ifedayo Olusegun dan jaringan tiga lagi pemain. Saksikan sorotannya di sini.

Baca juga: Ratings – Ifedayo pimpin Gergasi tumbangkan Badak

Walaupun keputusan itu tidak merubah kedudukan Selangor yang kini berada di tangga kelima, ia kembali menjarakkan mereka dengan Kuala Lumpur City di tangga keenam.

Ditemuramah selepas perlawanan, pengendali dari Jerman itu menyuarakan rasa lega di atas persembahan pasukannya di sebalik ketiadaan dan kemungkinan kecederaan beberapa pemain.

“Safuwan [Baharudin], Eky (Shahrel Fikri), Halim [Saari], dan Mawi (Ashmawi Yakin) yang kini digantung, sekarang pula saya tak tahu situasi Oli (Oliver Buff), [Mukhairi] Ajmal, Hakim [Hassan] dan Syahmi [Safari].

“Kami harus berhati-hati selepas ini, tetapi di atas padang kesemua mereka bermain baik dan kami [bermain sebagai] satu pasukan semula. Mungkin ia berbeza dengan pasukan lain, tapi mereka tak bersungut jika tak dapat berada dalam kesebelasan utama. Harapnya mereka akan bermain baik dalam perlawanan terakhir [liga] dan seterusnya Piala Malaysia.

“Selepas ini kami akan memantau kecederaan sebelum membuat persiapan untuk perlawanan terakhir. Saya telah berbincang dengan mereka dan memutuskan yang kami perlu komited untuk memenangi perlawanan ini (menentang Petaling Jaya City). Kami mahu bersedia baginya dari awal lagi,” jelas bekas bos Holstein Kiel ini.

Namun apabila ditanya mengenai persembahan Ifedayo, Karsten bersahaja menjawab yang membantu Ifedayo rebut kasut emas bukanlah objektif baginya.

Dengan hatriknya malam itu, pemain berpasport Bahrain ini telah mencatatkan 25 gol peribadi musim ini, sekaligus memecahkan rekod penjaring terbanyak semusim yang sebelum ini dipegang oleh Mohamad Ghaddar, di samping mendahului carta penjaring terbanyak musim ini. Ifedayo juga telah merangkul gelaran penjaring terbanyak musim lalu.

“Kita lihat nanti,” jawab Karsten. “Ini bukan masalah saya, saya gembira buat Dayo dan pemain-pemain lain membantunya dengan baik. Jika dia buat lagi seperti ini minggu depan, kami akan menang dan dia akan berjaya.

“Jumlah 25 gol ini menakjubkan tapi ia bukan sesuatu yang penting bagi saya. Harapnya dia dapat menjaringkan gol lagi.”

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.