Selangor-Melaka, Halim Saari

Karsten tekad kutip tiga mata penuh berhadapan Melaka

Ketua jurulatih, Karsten Neitzel mengetahui apa yang ditawarkan pertembungan Selangor-Melaka United pada malam Sabtu, 28 Ogos, buat pasukannya.

Gergasi Merah yang kini berada di tangga kelima Liga Super dengan 32 mata perlu mengutip mata penuh dari ketiga-tiga baki perlawanan mereka bagi mencerahkan peluang layak ke Piala AFC 2022 secara automatik sebagai naib juara liga.

Bercakap kepada Metro, pengendali dari Jerman itu menyatakan satu-satunya sasaran pasukannya di Stadium MBPJ hujung minggu ini.

“Melaka pasukan yang cukup sukar dan kami kena bersedia dengan serius seperti juga perlawanan-perlawanan yang lain dan kami akan turun dengan sasaran untuk tiga mata. Saya harap kita dapat tamatkan pada kedudukan yang setinggi mungkin, tapi kita tak boleh terlalu yakin.

“Sebab itu kita tak boleh harapkan keputusan daripada perlawanan pasukan lain, sebaliknya kita kena dapatkan tiga mata dalam setiap aksi dan itu yang kita kena lakukan,” katanya.

Walaupun Selangor FC dan Melaka kini dipisahkan 18 mata, rekod pertembungan terdahulu Selangor-Melaka meramalkan satu lagi perlawanan yang sengit. Skuad Merah Kuning gagal mengutip kemenangan dalam tiga perlawanan terbaru mereka yang dimainkan di laman sendiri (Perlawanan Piala Malaysia peringkat 16 terakhir tahun lalu, yang dimenangi Selangor 2-1, dimainkan di Stadium Hang Jebat walaupun Selangor merupakan tuan rumah secara rasmi.)

Dari sisi lain, persaingan merebut tempat kedua ini pastinya bakal menghidangkan pertembungan-pertembungan sengit dalam tempoh dua minggu ini. Walaupun selesa dari segi pungutan mata, Terengganu FC (37 mata) menghadapi deretan perlawanan yang dilihat paling sukar; Kuala Lumpur City (KLC), JDT dan Penang FC (34). KDA (35) pula bakal berhadapan KLC sebagai pertembungan penting. KLC (27) juga perlu menentang JDT selain Terengganu dan KDA.

Walaupun Gergasi Merah perlu bergantung kepada keputusan-keputusan pasukan lain bagi meloloskan diri ke Asia, mereka dilihat mempunyai baki jadual yang paling selesa; berhadapan Melaka, Sabah FC dan Petaling Jaya City.

Sementara itu, JDT mengesahkan kejuaraan liga kelapan berturut-turut setelah menumpaskan Sri Pahang 3-0 pada malam Jumaat.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.