Preview KLC lwn Selangor

Karsten terkejut penyokong Selangor sanggup ikut pasukan ke Ipoh

Selepas pasukannya mencatatkan kemenangan dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia, jurulatih Selangor FC gembira dengan persembahan pemainnya. Malah Karsten Neitzel teruja penyokong Gergasi Merah turut hadir ke Ipoh bagi perlawanan menentang Perak FC pada malam Rabu.

Kredit foto Selangor FC

Menurunkan ramai pemain-pemain simpanan dan gantian kerana telah pun layak ke saingan suku akhir, kesilapan penjaga gol Tauffiq Ar Rasyid Johar di awal permainan menyaksikan pasukan pelawat terpaksa mengejar dari belakang. Namun gol penyamaan dari Sean Selvaraj dan gol kemenangan lewat hasil sepakan percuma Wan Zack Haikal memberikan tiga mata penuh dan meniup semangat juara 33 kali ini, sebelum saingan peringkat kalah mati.

Menurut pengendali dari Jerman ini, apa yang tidak digemarinya adalah proses ‘decision-making’ pasukannya semasa menyerang.

“‘Decision-making’ kami sentiasa menjadi topik perbincangan kerana pemain-pemain kerap gagal melakukan cara yang betul, dalam mengambil langkah-langkah yang perlu.

“Tapi yang paling mustahak adalah kami menang perlawanan tadi, kerana kami mahu akhiri peringkat kumpulan dengan jayanya,” jelas beliau kepada media selepas perlawanan.

Namun apa yang membanggakan Karsten adalah kebolehan pasukannya untuk mengutip kemenangan sekaligus menamatkan peringkat kumpulan dengan nota positif.

“Tiada kecederaan baru merupakan sesuatu yang menggembirakan saya. Saya juga sangat terkejut melihat begitu ramai penyokong yang ikut kami malam ini.

“Lebih ramai pemain dapat penampilan pertama seperti Iskandar (Saiful Iskandar Adha Saiful Azlan) dan Aidil Azuan. Pemain-pemain yang diturunkan bermain boleh dikata baik, mereka boleh bermain dengan lebih baik, tapi selepas tamat 90 minit, kami menang. Ianya perasaan yang baik sebelum kami menempuh saingan suku akhir. Ia membawa mentaliti yang baik dan harapnya kami dapat pergi lebih jauh,” ujarnya.

Dia juga sempat memuji gol kemenangan yang dihasilkan Wan Zack.

“Ianya memang sepakan percuma sempurna dari seorang pemain yang sentiasa bekerja keras.”

Ahad ini Selangor akan melayani kunjungan Kuala Lumpur City di Stadium MBPJ dalam suku akhir pertama, sebelum berkunjung ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur empat hari kemudiannya bagi perlawanan kedua.

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.