Preview KLC lwn Selangor

Karsten: “Saya sudah lupakan perlawanan menentang Terengganu yang lalu”

Ketua jurulatih Selangor FC Karsten Neitzel baru-baru ini menyifatkan anak-anak buahnya amat bernasib baik dapat menang 1-0 dalam pusingan pertama Kumpulan B Piala Malaysia, menentang Perak FC Ahad lalu. Bagi Karsten, Terengganu lawan Selangor merupakan ujian seterusnya bagi pasukannya, pada Rabu 29 September di Kuala Terengganu, sebelum kejohanan berehat panjang bagi memberi laluan buat pasukan Harimau Malaya yang akan bermain dalam dua perlawanan persahabatan.

Kredit foto utama Selangor FC

Namun apabila ditanyakan wartawan mengenai hakikat bahawa pasukannya ditumpaskan Sang Penyu dalam kedua-dua perlawanan Liga Super musim ini, pengendali dari Jerman ini menyatakan yang itu sudah menjadi cerita lama buatnya.

“Saya sudah lupakan keputusan lalu menentang Terengganu. Kami mampu mengutip mata di sana jika [pemain-pemain] kami dapat ‘recover, recover, recover‘ (pulih secepat dan sebaik mungkin) dan bersedia rapi sebelum perlawanan ini.

“Kami tahu kebolehan Terengganu dan ia cabaran berat buat kami sekali lagi, tapi sudah tiba masanya untuk kami menang ke atas mereka pula,” jelas Karsten dalam sidang media selepas perlawanan menentang Perak.

Dalam perlawanan liga pada bulan Mac di Kuala Terengganu, anak-anak buah Nafuzi Zain mengatasi Merah Kuning 3-1, sementara dalam perlawanan di Stadium MBPJ pada bulan Mei, pasukan tuan rumah mendahului sebelum dibolosi dua gol semasa perlawanan berbaki 20 minit dan tumpas 2-1.

Manakala kali terakhir Selangor mengutip kemenangan di Terengganu adalah pada tahun 2018, 3-1 dalam perlawanan Piala FA.

Dia kini mengharapkan kepulangan pemain-pemainnya dari kecederaan dan penggantungan akan membantu pasukan pada Rabu ini.

“Saya menunggu kembalinya Syahmi [Safari] yang digantung dan Aliff [Haiqal],” ujar Karsten.

“Eky (Shahrel Fikri Fauzi) juga nampak positif dan harapnya dapat menyertai semula latihan penuh secepat mungkin.”

Dalam perlawanan menentang Perak tempoh hari, Gergasi Merah menampilkan aksi tidak meyakinkan, malah hampir dapat diatasi Seladang yang telah pun tersingkir ke Liga Premier. Di hampir penghujung perlawanan mereka mendapat sepakan penalti kerana kesasaran, yang disempurnakan Ifedayo Olusegun bagi gol tunggal perlawanan.

Penyokong-penyokong Selangor pastinya mahukan kejayaan buat anak-anak buah Karsten, Terengganu lawan Selangor akan menunjukkan sama ada mereka dapat pergi jauh dalam kempen Piala Malaysia tahun keseratus ini.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.