Ifedayo Olusegun pemenang kasut emas liga 2021

“Saya masih menggigil” – Ifedayo rangkul kasut emas 2021

Kekalahan longlai 2-1 kepada Petaling Jaya (PJ) City pada Ahad pasti bukanlah penamat saingan Liga Super 2021 yang dimahukan Selangor FC. Namun begitu ia masih diakhiri nota kejayaan buat penyerang, Ifedayo Olusegun, yang berjaya merangkul anugerah kasut emas liga 2021.

Kredit foto utama Malaysian Football League

Jaringan penaltinya pada lewat separuh masa pertama merupakan gol tunggal Gergasi Merah di Stadium MBPJ, tapi ia berjaya menjadikan jumlah gol liga peribadinya musim ini kepada 26, dengan pencabar terdekat, Bergson da Silva dari JDT merekodkan 23.

Bukan itu saja, pemain berpasport Bahrain dari Nigeria ini turut memecahkan satu lagi rekod melalui 26 jaringannya. Ifedayo kini merupakan pemegang rekod penjaring terbanyak dalam semusim Liga Super, yang sebelum ini dipegang Bergson dan Mohamad Ghaddar, juga dari JDT.

Selepas perlawanan menentang PJ City, Ifedayo mengulas mengenai anugerah kasut emas yang dimenanginya apabila ditemu ramah penyiar siarang langsung perlawanan.

Syukur pada Tuhan atas kejayaan ini. Saya bekerja keras musim ini untuk mendapatkannya, tapi kerja keras tak bermakna tanpa rahmat Tuhan.

“Penghargaan istimewa juga harus disuarakan buat pasukan saya, jurulatih-jurulatih, pemain-pemain yang membantu saya melakukannya, semua orang di Selangor, penyokong-penyokong, keluarga, semua-semua yang menyokong saya.

“Saya sangat terharu, masih menggigil kegirangan! Ia tugas yang baik dan saya amat bersyukur,” jelas pemain yang berusia 30 tahun ini.

26 gol Ifedayo ini Ifedayo termasuklah tiga hatrik yang dijaringkannya, menentang Perak FC pada bulan April, Kedah DA (Ogos) dan Sabah FC pada minggu lalu.

Dan kasut emas 2021 ini juga merupakan kasut emas kedua berturut-turut Ifedayo, selepas pertama kali memenanginya tahun lalu.

Menurut perkiraan kami, setakat ini Ifedayo yang menyertai Merah Kuning sejak pertengahan musim 2019 telah menjaringkan 50 gol Liga Super untuk Selangor, ditambah pula lima gol dalam Piala Malaysia.

Dia juga telah disenaraikan dalam kesebelasan terbaik Liga Super 2021, bersama-sama Sharul Nazeem Zulpakar dan pemain Selangor yang dipinjamkan ke Penang FC, Quentin Cheng.

Menjelang bermulanya Piala Malaysia minggu hadapan, sudah pasti penyokong Selangor mahu ‘Wak Dayo’ menterjemahkan kejayaan peribadinya ini kepada kejayaan berpasukan pula.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.