Ifedayo Olusegun rebut kasut emas

Selepas pecah rekod, Ifedayo alih perhatian ke Piala Malaysia

Penyerang Selangor FC Ifedayo Olusegun kembali merapati anugerah kasut emas Liga Super musim ini, setelah menjaringkan hatrik bagi membantu Gergasi Merah membelasah Sabah 6-0 pada Ahad.

Baca juga: Karsten tak mahu tumpukan usaha Ifedayo rebut Kasut Emas

Jaringan-jaringan ini membawa jumlah golnya musim ini ke 25, dua gol lebih banyak dari pencabar terdekat, Bergson da Silva penyerang Johor Darul Ta’zim.

Lebih menarik lagi, 25 gol yang dijaringkan pemain yang berasal dari Nigeria ini turut membolehkannya memecahkan sebuah rekod; iaitu jumlah jaringan terbanyak semusim liga, yang sebelum ini dimiliki Mohamad Ghaddar dengan 23 gol pada musim 2017.

Apabila ditemubual penganjur pertandingan Malaysian Football League (MFL), pemenang kasut emas Liga Super musim 2020 ini menyifatkan kejayaan itu sebagai kejayaan pasukan.

“Perasaan dapat menjadi pemain pertama pecahkan rekod jaringan ini sukar untuk saya gambarkan, saya mahu berikan penghargaan khas kepada rakan sepasukan kerana ini adalah usaha bersama. Begitu juga dengan peminat Selangor yang sentiasa menyokong saya biarpun ada hari saya tidak menjadi dan saya mahu jelaskan di sini, kami semua yang memecahkan rekod ini, bukannya saya.

“Musim lalu saya menjaringkan 12 gol daripada 11 perlawanan dan secara purata keseluruhannya seperti 24 gol jika dijalankan secara dua pusingan. Jadi sejak permulaan musim ini, saya telah meletakkan sasaran untuk cuba mengatasi rekod jaringan itu dan saya gembira mampu melakukannya dengan angka 25 jaringan setakat ini,” jelas pemain berusia 30 tahun ini.

Kini dia mahu menamatkan saingan kasut emas dalam pusingan terakhir liga pada hujung minggu ini, seterusnya memulakan cabaran dalam Piala Malaysia.

“Kenapa tidak [terus bermain baik dalam Piala Malaysia]? Saya rasa kami boleh konsisten di Piala Malaysia cuma berdasarkan pengalaman saya, ia adalah satu pertandingan berbeza kerana suasananya tidak sama semasa bersaing di liga.

“Ada kalanya pasukan bukan pilihan boleh menghadirkan kejutan dan kami perlu meningkatkan prestasi sedia ada jika mahu melakar sesuatu di pentas Piala Malaysia.

“Kami tidak boleh tewas dalam mana-mana perlawanan di Piala Malaysia dan sudah tentu penyokong mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada pasukan,” jawab Ifedayo.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.