Kebenaran penonton ke stadium; Ultrasel

Peluang cerah penyokong pulang ke Stadium MBPJ sebulan lagi

Walaupun perlawanan terbaru Selangor FC berakhir dengan kekalahan 2-1 kepada Terengganu FC dalam peringkat kumpulan Piala Malaysia, penyokong Merah Kuning pasti gembira dengan perkembangan terbaru; iaitu kemungkinan kebenaran penonton ke stadium bagi perlawanan-perlawanan seterusnya dalam kejohanan ini.

PENGUMUMAN TERBARU: MFL sahkan penonton boleh kembali ke stadium bermula pusingan ketiga peringkat kumpulan.

Kredit foto utama Selangor FC

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu, 29 September telah mengumumkan lebih banyak kelonggaran untuk beberapa sektor perusahaan untuk kembali beroperasi dalam situasi pandemik Covid-19. Keputusan yang dilakukan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik ini turut melibatkan sektor sukan dan rekreasi negara

“Lebih banyak kelonggaran diberikan kepada negeri Fasa 2, 3 dan 4 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk membabitkan kebenaran majlis rasmi kerajaan, swasta.

“Selain itu, turut dibenarkan ialah pembukaan sektor latihan kemahiran dan pusat latihan industri dan kehadiran penonton ke tempat perlawanan sukan serta rekreasi,” jelas kenyataan Ismail seperti yang dipetik dari Berita Harian.

Namun kebenaran ini masih hadir dengan syarat-syarat yang ketat. Antaranya adalah hanya penyokong yang sudah menerima dua dos vaksin lengkap dan berusia 18 tahun ke atas dibenarkan hadir, dan juga larangan aktiviti makan dan minum semasa di stadium.

Christopher Raj Aralanthu merupakan pengerusi jawatankuasa media Persatuan Bolasepak Malaysia

Buat masa ini, kawasan Lembah Klang termasuk negeri Selangor berada dalam fasa ketiga PPN, sedang jumlah kematian dan jangkitan baru disebabkan Covid-19 semakin turun di seluruh negara.

Bagaimanapun, sebarang keputusan akhir mengenai kebenaran penonton ke stadium sudah pasti akan diumumkan oleh penganjur pertandingan dalam negara, Malaysian Football League (MFL) dalam kemaskini prosedur operasi piawai (SOP) akan datang bagi pertandingan semasa pandemik Covid-19. Dan memandangkan Piala Malaysia hanya akan bersambung sebulan lagi bagi memberi laluan kepada dua perlawanan persahabatan Harimau Malaya, MFL dipercayai akan mengambil masa untuk melakukan kemaskini ini, bagi memperhalusi segala aspek kepulangan penyokong ke stadium.

Gergasi Merah kini sudah bermain satu perlawanan di Stadium MBPJ dalam peringkat kumpulan, yang bermakna mereka masih ada sekurang-kurangnya dua perlawanan di laman sendiri musim ini. Penyokong-penyokong pula pastinya mahu hadir semula ke stadium bagi memberi semangat kepada pasukan, jika dilihat dari persembahan longlai mereka selepas dua perlawanan kumpulan!

Penyokong juga digalakkan mendapatkan maklumat lanjut di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.