pemain muda tinggalkan Selangor 2

Keberanian membawa kepada kepercayaan terhadap Gergasi muda

Skuad Merah Kuning yang turut dibarisi pemain-pemain muda dilihat mula memberikan persembahan yang baik, apabila sedang merekodkan empat kemenangan berturut-turut dalam aksi Liga Super.

Bermula dari kemenangan bergaya 4-1 ke atas Penang FC, mereka kemudiannya membenam UiTM FC 2-0, Kedah Darul Aman 4-2 dan terbaru, Perak FC 3-0.

Kelab ini juga dilihat teguh dengan kepercayaan terhadap pemain-pemain muda yang sentiasa diberi kepercayaan beraksi, di sebalik kekurangan pengalaman beraksi di peringkat tinggi.

Hampir kesemua mereka bermula di Liga Premier dengan pasukan simpanan, sebelum diberi peluang menunjukkan kematangan mereka di divisyen satu.

Musim ini saja, enam orang pemain muda telah diberikan ‘debut’ Liga Super; iaitu Jordan Ayimbila (20 tahun), Hein Htet Aung (19), Sharul Nazeem Zulpakar (21), Sikh Izhan Nazrel (19), Harith Haiqal (19) dan Danial Asri (21).

Sementara itu, Aliff Haiqal (21), Shivan Pillay Asokan (20), Zikri Khalili (19) dan Mukhairi Ajmal (19) telah mula bermain di Liga Super sebelum musim ini lagi.

Dalam satu temuramah ringkas dengan Metro, ketua pegawai eksekutif kelab (CEO, Johan Kamal Hamidon menerangkan faktor yang memungkinkan kepercayaan ini, iaitu sinergi di antara ketua jurulatih pasukan utama, Karsten Neitzel dan pengarah sukan kelab, Michael Feichtenbeiner.

“Formulanya adalah atas kepercayaan dua watak penting pasukan iaitu Neitzel dan Feichtenbeiner yang sering berkerjasama sebagai satu unit.

“Neitzel sendiri selalu berhubung dengan Feichtenbeiner untuk melihat potensi pemain-pemain muda yang boleh diketengahkan daripada Selangor II di Liga Perdana kepada pasukan utama iaitu Selangor di Liga Super.

“Walaupun pemain-pemain itu muda, tetapi kita tidak menganggapnya satu kelemahan kerana kita percaya pemain muda ini akan menjadi aset berharga pasukan di masa depan sekali gus menjadi platform menghasilkan pemain berkualiti,” jelas beliau.

Di sebalik gelaran ramai, Feichtenbeiner sebenarnya tidak gemar menamakan falsafah yang diterapnya sebagai ‘DNA Jerman’ dan telah menyatakan yang ia sebenarnya ‘DNA Selangor’, namun tidak dapat dinafikan yang nilai-nilai bolasepak ibu pertiwi kedua-dua mereka telah mempengaruhi kepercayaan mereka terhadap bakat-bakat muda.

Sebagai contoh, kelab-kelab Bundesliga dilihat berlumba-lumba memberikan ‘debut’ kepada pemain-pemain yang usianya cuma belasan tahun, malahan pengurus-pengurus pasukan mereka juga ada yang berusia awal 30-an.

Sudah pasti penyokong-penyokong Merah Kuning tidak sabar mahu melihat kembalinya status negeri Selangor dan pasukan ini sebagai kilang bakat-bakat terbaik negara.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.