George Attram mungkin bermain dalam Kelantan lwn Selangor 2

Selangor 2 mahu sukarkan laluan Kelantan ke Piala Malaysia

Apabila Selangor FC 2 kini terpaksa menamatkan musim 2021 mereka secara pra-matang, mereka mensasarkan kemenangan dalam kemunculan kompetitif terakhir mereka, dalam pertembungan Kelantan lwn Selangor 2 pada pusingan terakhir Liga Premier musim ini.

Kredit foto utama Malaysian Football League

Dan jika anak-anak buah Michael Feichtenbeiner berjaya merangkul kemenangan di Kota Bharu pada Selasa, 21 September ini, ia mungkin menyulitkan peluang Kelantan FC untuk layak ke Piala Malaysia!

Sedang peluang untuk layak dari divisyen dua hanya tinggal buat tiga pasukan, iaitu pasukan-pasukan [bukan pasukan simpanan] tempat ketiga, keempat dan kelima, Pahlawan Merah kini merupakan pasukan bukan pasukan simpanan di tangga kelima. Hanya kemenangan ke atas pasukan pelawat Selasa ini yang akan mengesahkan laluan mereka ke edisi seratus tahun Piala Malaysia.

Malah jika Kelantan berjaya menamatkan saingan liga sebagai pasukan bukan pasukan simpanan ketiga terbaik, mereka akan diletakkan dalam Kumpulan B bersama-sama pasukan utama Selangor, di samping Terengganu FC dan Perak FC.

Namun pasukan simpanan Selangor bertegas mahukan penamat musim 2021 yang menggembirakan buat mereka, setelah baru-baru ini dimaklumkan yang Piala Cabaran, kejohanan pasca-musim yang ditandingi kelab-kelab divisyen satu dan dua yang tidak layak ke Piala Malaysia dan pasukan-pasukan simpanan, akan dibatalkan bagi tahun kedua berturut-turut akibat wabak Covid-19.

β€œPerlawanan terakhir mereka menentang Kelantan, yang pasti saya mahukan kejayaan daripada mereka dan biarpun pasukan simpanan tidak dapat beraksi di pentas Piala Malaysia atau Piala Cabaran, kami mahukan kemenangan terakhir ini,” tegas Michael seperti yang dipetik dari laman sesawang kelab.

β€œKita tahu pasukan Pahlawan Merah sedang berjuang untuk mendapatkan kedudukan yang terbaik untuk berada di kumpulan B atau D dalam saingan Piala Malaysia nanti, tetapi saya akan pastikan pemain-pemain muda ini tidak akan berikan jalan yang mudah untuk mereka.”

Tetapi walaupun Michael yang juga merupakan pengarah bolasepak kelab menyatakan sentimen yang enak didengari penyokong menjelang pertemuan ini, hakikatnya kelihatan lebih sukar. Biarpun Kelantan mempamerkan prestasi yo-yo, anak-anak buah Michael sedang melalui deretan enam perlawanan tanpa kemenangan, dengan dua darinya berakhir dengan kekalahan.

Lebih menarik lagi, perlawanan Kelantan lwn Selangor 2 ini bakal dapat ditonton dalam talian secara percuma.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.