Fazrul Fahriz Zeky, Kelantan vs Selangor 2

Michael terkilan Selangor 2 ditumpaskan gol ofsaid

Walaupun objektif asal ketua jurulatih, Michael Feichtenbeiner adalah untuk mengutip kemenangan ke atas pasukan tuan rumah dalam perlawanan pusingan akhir Liga Premier mereka, pertembungan Kelantan vs Selangor 2 sebaliknya berakhir dengan kekalahan 2-1 kepada pasukan simpanan Gergasi Merah.

Kredit foto utama Selangor FC

Michael pada mulanya mensasarkan tiga mata penuh pada 21 September sekaligus menyulitkan laluan Pahlawan Merah ke Piala Malaysia, tetapi terpaksa berputih mata menerusi kekalahan kedua berturut-turut.

Walaupun mereka membuka jaringan di Kota Bharu menerusi sepakan percuma minit ke-23 Nik Umar Nik Azizi, kesilapan serupa kembali menghantui. Hanya berselang seminit, kesilapan pertahanan menghadiahkan sepakan penjuru buat lawan. Dari sepakan yang diambil, penjaga gol Sikh Izhan Nazrel terlepas bola yang kemudiannya jatuh betul-betul di hadapan penyerang Kelantan FC, Nurshamil Ghani yang hanya perlu membuat tolakan mudah untuk menyamakan kedudukan.

Dalam perlawanan Selangor 2 sebelum ini, kekalahan 4-1 kepada Terengganu FC II di tempat sendiri, sekurang-kurangnya dua gol pasukan pelawat dijaringkan akibat kesilapan penjaga gol ini, yang baru bulan lalu mendapat ‘debut’ dengan pasukan utama di Liga Super, dan seterusnya dikaitkan dengan sebuah kelab divisyen dua Sepanyol.

Pada minit ke-38, tuan rumah di depan pula hasil jaringan Syed Sobri Syed Mohamad, dengan gol itu dilihat dilepaskan begitu mudah oleh barisan pertahanan Selangor 2. Namun begitu, Michael melihat jaringan ini tidak seharusnya dikira.

“Pasukan saya bermula baik dalam perlawanan ini dengan gol pendahuluan yang memang layak kami miliki, tapi ia bertahan hanya seminit. Pemain saya memberikan sepakan penjuru yang tak perlu dan seterusnya kesilapan besar penjaga gol kami menyebabkan gol penyamaan.

“Saya tak mahu komen mengenai gol kedua [Kelantan], …pada saya ia terang-terangan ofsaid. Dalam separuh masa kedua budak-budak saya tunjukkan semangat baik untuk kembali, mencipta peluang-peluang di sebalik keadaan padang [yang basah] tetapi kami kalah,” jelas pengendali dari Jerman ini kepada media selepas perlawanan Kelantan vs Selangor 2.

(Ulang tayang gol kedua Kelantan tidak menunjukkan situasi ‘ofsaid’ ini secara jelas)

Memperakui bahawa pasukannya bermasalah dari segi menjaringkan gol disebabkan usia muda mereka, Michael yang juga merupakan pengarah bolasepak kelab menyatakan bahawa penjaring utama mereka, George Attram telah kembali tercedera.

Diminta mengulas mengenai kedudukan terkini mereka dalam liga di tempat kelapan dari 11 pasukan, dengan masih ada kemungkinan jatuh satu anak tangga, dia lebih gemar mengingatkan media mengenai objektif sebenar pasukannya.

“Bagi kami, posisi pasukan ‘feeder’ (simpanan) dalam liga tak penting,” jelasnya jujur. “Kami mahu memenangi semua perlawanan jadi kami kecewa malam ini.”

“Apa yang paling penting adalah untuk menghasilkan pemain-pemain bagi pasukan utama. Pemain-pemain terbaik kami dalam separuh pertama liga kini berada dengan pasukan utama bagi Piala Malaysia, dan juga pasukan Malaysia B-20. Pasukan ini ‘lemah’ jadinya tapi ia merupakan peluang bagi pemain-pemain yang lebih muda untuk bermain hari ini.”

Biarpun penjelasan-penjelasan dari Michael ini tidak dapat disangkal, tetapi penyokong Selangor pastinya kecewa dengan hakikat yang pasukan ini gagal mengutip hatta satu mata walaupun mereka menguasai lebih 60 peratus perlawanan, menurut statistik dari siaran langsung!

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.