keluarga Khairulazhan jadi mangsa

Keluarga Yan jadi mangsa banjir di Kuantan

Bulan Disember ini pastinya bulan yang ingin segera dilupakan penjaga gol Selangor FC, Khairulazhan Khalid. Menurut laporan Malaysian Football League (MFL), keluarga Khairulazhan jadi mangsa banjir yang melanda banyak tempat di Semenanjung Malaysia sejak hujung minggu lalu.

Kredit foto Selangor FC

Akibat hujan yang turun tidak henti-henti, beberapa kawasan di negeri Selangor dan Lembah Klang telah dilanda bah, dengan situasi masih meruncing di beberapa kawasan lain Semenanjung.

Menurut penjaga gawang berusia 32 tahun ini yang masih berada di Singapura, keluarganya di Kuantan, Pahang turut terkesan dengan bencana.

“Memang rasa tidak senang hati bila fikir keadaan mereka dekat Kuantan, dan saya pula jauh , jadi hanya menunggu perkhabaran daripada adik-beradik sahaja untuk tahu apa yang berlaku.

“Alhamdulillah semua dalam keadaan baik, dan sekarang semua tengah bergotong royong membersihkan rumah, tiada barang berharga yang musnah, cuma motosikal yang saya tumpangkan di rumah kawan di Kuala Lumpur pula tenggelam.

“Rasanya bulan ini penuh dugaan dengan saya positif Covid-19 sebelum ini dan dengan ditimpa bencana seperti ini pula, tapi Alhamdulillah semuanya beransur pulih”, katanya seperti yang dipetik dari MFL.

Khairulazhan atau turut dikenali dengan nama panggilan Yan telah selesai menjalani kempen Piala AFF 2020 bersama pasukan Malaysia di mana dia mengalami nasib tidak baik. Dia dan beberapa anggota skuad Harimau Malaya diuji positif Covid-19 hanya beberapa hari sebelum pertandingan bermula dan terlepas aksi, membawa kepada tamatnya kempen Malaysia di peringkat kumpulan.

Berita dari MFL ini turut memetik pengalaman ketua jurulatih Sri Pahang, Dollah Salleh apabila kenderaannya tersangkut dalam banjir berhampiran Sungai Soi dalam perjalanan dari Pahang untuk pulang ke Kuala Lumpur. Namun beliau bernasib baik kerana dapat menyelamatkan diri, biarpun keretanya “musnah sepenuhnya”.

Di samping keluarga Khairulazhan jadi mangsa banjir, situasi sama turut dialami bekas pertahanan kanan Selangor, Syahmi Safari dan anggota pasukan futsal Selangor MAC.

Kelab bersama-sama Persatuan Bolasepak Selangor dan komuniti belia Selangor Youth Community telah melancarkan inisiatif bantuan untuk mangsa-mangsa banjir di negeri ini, dan pada hari ini, Selasa, 21 Disember, telah mula membantu membersihkan kediaman-kediaman mangsa di Padang Jawa.

Kutipan sumbangan wang juga telah dibuka menerusi cabang ‘corporate social responsibility’ kelab, RG Care dengan bantuan Global Sadaqah. Klik di sini untuk membuat sumbangan: https://globalsadaqah.com/my-floods21

Merah Kuning 24/7 mengucapkan takziah kepada semua mangsa, dan menyeru kepada semua pembaca kami dan penyokong Selangor untuk memberikan sumbangan wang dan tenaga kepada usaha-usaha ini.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.