keluarga Khairulazhan jadi mangsa

Yan positif Covid, Safuwan jaring gol pembukaan menentang Hein Htet

Hari pertama Kejuaraan AFF 2020 yang berlangsung pada Ahad, 5 Disember menyaksikan dua orang bintang Selangor FC bertembung, manakala seorang lagi, penjaga gol Malaysia Khairulazhan positif Covid-19.

Kredit foto Selangor FC

Hanya sehari sebelum Malaysia dijadualkan memulakan kempen mereka dalam Kumpulan B menentang Kemboja, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan di laman sosial mereka bahawa Khairulazhan Khalid dan pemain sayap, Faisal Halim didapati positif Covid-19 dan telah diletakkan dalam kuarantin selama 10 hari.

Penjaga gawang Selangor dan pemain Terengganu FC itu dikatakan positif tanpa gejala setelah menjalani ujian sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura bersama skuad Harimau Malaya. Jika mereka diuji negatif setelah tamat tempoh kuarantin, mereka berdua akan dibenarkan kembali menyertai latihan bersama pasukan dan menyertai baki saingan. Yan dan Faisal dijangka terlepas tiga perlawanan kumpulan pertama Malaysia menentang Kemboja, Laos dan Vietnam.

Perkembangan terbaru ini pastinya lebih menyukarkan kerja ketua jurulatih Malaysia Tan Cheng Hoe. Atas sebab-sebab yang hanya diketahui FAM, dia hanya membawa 24 pemain ke Singapura walaupun setiap pasukan dibenarkan mendaftarkan 30 pemain dalam skuad kejohanan.

Kami di Merah Kuning 24/7 mengucapkan semoga cepat sembuh dan dapat kembali beraksi kepada Yan dan Faisal.

Sementara itu, dua orang pemain Selangor bertembung dalam perlawanan kedua hari pembukaan kejohanan; iaitu di antara pasukan tuan rumah Singapura dan Myanmar. Sang Singa diwakili pemain pertahanan Safuwan Baharudin manakala Singa Asia disertai pemain tengah Hein Htet Aung.

Biarpun di peringkat awalnya perlawanan Kumpulan A ini dilihat seimbang, namun Singapura menunjukkan disiplin tinggi untuk mengelak dari dibolos, dan mempunyai lebih kualiti di bahagian serangan. Gol pembukaan dihasilkan dari tandukan Safuwan pada minit ke-34, dan ia membawa kepada dua gol oleh Ikhsan Fandi, anak lagenda Singapura Fandi Ahmad sebelum separuh masa pertama tamat. Myanmar tidak berupaya merapatkan kedudukan selepas waktu rehat, dengan Htet Aung digantikan pada minit ke-64. Safuwan pula kekal di atas padang sehingga wisel penamat. Perlawanan ini tamat 3-0.

Pertembungan ini menyaksikan Safuwan hanya memerlukan dua lagi penampilan untuk mendapat ‘cap’ rasmi antarabangsa rasminya yang ke-100, sementara ia merupakan penampilan antarabangsa senior pertama buat Hein Htet. Rabu ini Myanmar akan berdepan dengan Timor-Leste, manakala Singapura akan menentang Filipina.

Selain Khairulazhan positif Covid, Safuwan dan Hein Htet, edisi Kejuaraan AFF kali ini turut disertai tiga orang lagi pemain Gergasi Merah, kesemuanya dengan pasukan Malaysia. Mereka adalah Shahrel Fikri, Quentin Cheng dan Mukhairi Ajmal.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.