Karsten Neitzel pelik Selangor

Selangor amat bernasib baik, akui Karsten

Biarpun memulakan kempen Piala Malaysia 2021 dengan kemenangan 1-0 ke atas Perak FC, ketua jurulatih Selangor FC Karsten Neitzel menyifatkan keputusan ini sebagai nasib baik, apabila diminta memberi komen Selangor lwn Perak.

Kredit foto Selangor FC

Biarpun telah memenangi kedua-dua pertembungan dalam Liga Super pada awal musim, Gergasi Merah mula longlai di Stadium MBPJ pada Ahad, 27 September, apabila pemain tengah Oliver Buff tercedera dan terpaksa digantikan tidak sampai setengah jam perlawanan berlangsung. Sama seperti dalam perlawanan terdahulu, menentang PJ City dalam liga, ketiadaan pemain Switzerland ini merencatkan permainan dan juga keyakinan anak-anak buah Karsten, dan menyaksikan mereka hampir dibolosi sebanyak dua kali sebelum wisel separuh masa dibunyikan.

Namun pertukaran-pertukaran selepas rehat yang membawa masuk Sean Selvaraj dan Mukhairi Ajmal menjadikan pasukan tuan rumah kembali berbahaya, dan kedua-duanya bergabung untuk memenangi sepakan penalti pada minit ke-79, yang kemudiannya disudahkan pemenang kasut emas Liga Super 2021 Ifedayo Olusegun bagi gol tunggal perlawanan.

Bercakap dalam sidang media pasca-perlawanan, pengendali dari Jerman ini menyifatkan anak-anak buahnya bernasib baik.

“Apa yang paling penting adalah untuk memulakan kejohanan dengan tiga mata penuh dalam perlawanan pertama. Kami amat bernasib baik. Kami bernasib baik terutamanya dalam separuh masa pertama. Saya risau melihatkan persembahan, kesediaan dan komitmen…pasukan lawan ada terlalu banyak peluang menjaringkan gol.

“Pasukan saya ada tiga, empat, lima situasi sebelum rehat apabila mereka melakukan ‘final pass’ yang buruk, sangat buruk. Mereka seharusnya bermain lebih baik. Tapi kami gembira dengan tiga mata ini dan saya ulangi, itu yang paling penting,” jelas pengendali berusia 53 tahun ini.

Dia juga mengakui yang ketiadaan Oli mengakibatkan Selangor rapuh, apabila memberi komen Selangor lwn Perak.

“Malang sekali yang Oli terpaksa digantikan pada minit ke-25,” ujar Karsten. “Pasukan hilang struktur permainan dan tidak dapat memegang bola dengan selamat. Saya bawa masuk Danial [Asri] manakala Hein [Htet Aung] ambil posisi Oli.

“Hein main terlalu dalam, yang bukan satu masalah besar sebenarnya, tapi ini salah satu punca pasukan tak memberi tekanan cukup kepada lawan. Selepas waktu rehat mereka bermain lebih baik apabila memiliki bola. Mereka harus bermain lebih baik menentang Terengganu FC Selasa (Rabu) nanti.”

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.