Shahrel Fikri sasarkan tempat

Lawan Selangor dalam suku akhir mahu kekal pasukan bukan pilihan

Setelah tamat peringkat kumpulan Piala Malaysia baru-baru ini, Selangor FC mengesahkan tempat mereka dalam saingan suku akhir. Lebih menarik lagi, mereka dijadualkan bertemu dengan seteru Lembah Klang, walaupun Kuala Lumpur City ‘underdog’, menurut jurulatih mereka sendiri Bojan Hodak.

Kredit foto Malaysian Football League

Kuala Lumpur City (KLC) muncul juara kumpulan A di bawah kendalian ketua jurulatih berpengalaman itu setelah menewaskan Sri Pahang 1-0 dalam perlawanan terakhir kumpulan mereka Rabu lalu. Namun ‘The City Boys’ masih menganggap yang mereka bukan pasukan pilihan berbanding pasukan-pasukan pilihan Terengganu FC dan Johor DT dan juga lawan mereka dalam saingan suku akhir, Selangor.

“Lihat rekod pasukan ini sejak 25 tahun lalu. Bila saya dilantik, sasarannya hanyalah untuk kekal dalam Liga Super. Tetapi kami berjaya lakukan perubahan sedikit demi sedikit dan pemain-pemain menunjukkan perwatakan sebenar mereka.

“Bagi kami, kelebihan berada di tangan pasukan-pasukan seperti Selangor, Terengganu dan JDT. Mereka ada 50 pemain dan ramai pemain asing (termasuk pemain skuad simpanan), mereka dapat menggilirkan pemain-pemain asing dan dapat rehat secukupnya sedangkan kami telah bermain sepanjang musim tanpa seorang pemain import.

“Namun perlu dinyatakan yang ini merupakan peringkat kalah mati; siapa yang paling kurang melakukan kesilapan [akan menang]. Kami bukan pasukan besar tapi kami mampu kejutkan semua pasukan,” jelasnya kepada media Rabu lalu.

Sudah pasti ini merupakan permulaan permainan mental oleh seorang bos sebuah pasukan yang telah menunjukkan peningkatan sepanjang musim hasil gaya permainan yang amat berdisiplin.

Rekod-rekod pertembungan terbaru di antara kedua-dua pasukan ini mungkin memihak kepada Gergasi Merah (dari 25 perlawanan terbaru, 17 dimenangi Selangor dan hanya satu oleh KLC), tetapi musim ini anak-anak buah Bojan kerap mengancam Selangor.

Sebuah pertembungan pra-musim berakhir dengan kemenangan KLC menerusi penentuan sepakan penalti, manakala kedua-dua aksi liga berakhir seri 1-1 dengan Selangor yang terpaksa bangkit dari ketinggalan. Mereka turut menamatkan saingan liga di tangga keenam, hanya satu tempat di bawah Selangor. Sudah pasti mereka‌ kini mahu mendapatkan kemenangan mutlak dalam pentas yang lebih sengit, biarpun kononnya Kuala Lumpur City ‘underdog’.

Aksi suku akhir pertama akan dimainkan di Stadium MBPJ pada Ahad, 14 November, dengan aksi kedua dijadualkan empat hari kemudiannya di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.