Kuching City lawan Selangor

Apa yang kita lihat dalam pertemuan Kuching-Selangor

Anak-anak buah Karsten Neitzel dipaksa bekerja keras sebelum berjaya menumbangkan lawan dengan jaringan 2-1 dan mengesahkan tiket ke peringkat suku akhir Piala Malaysia. Kami senaraikan semula apa yang kita lihat dalam pertembungan Kumpulan B Kuching City lawan Selangor FC pada malam Rabu.

Kredit foto Malaysian Football League

1) Tak perlu ubah apa yang berkesan

Sabtu lalu di laman sendiri, menentang pasukan yang sama, Karsten menurunkan kesebelasan utama pasukan majoriti pemain muda dan berhasil menang bergaya 5-1. Mungkin disebabkan keyakinannya, dia mengekalkan kesebelasan yang serupa pada malam Rabu. Tambahan pula, perlawanan seterusnya adalah menentang pasukan pilihan dan pendahulu kumpulan Terengganu FC, jadi sudah pasti tenaga pemain-pemain yang lebih berpengalaman disimpan untuk aksi di tempat sendiri nanti.

Keputusan malam Rabu mungkin tidak memberangsangkan seperti dalam pertemuan sebelumnya, tapi anak-anak muda Gergasi membuktikan mereka masih mampu menyudahkan objektif mengutip tiga mata dan membawa pasukan layak.

2) Kegoyahan Shivan

Keputusan Karsten memulakan perlawanan dengan pemain-pemain yang sama bagaimanapun menyebabkan pasukannya terdedah kepada risiko-risiko yang sama. Salah satunya adalah prestasi merisaukan ‘centre back’ berstatus muda iaitu Shivan Pillay Asokan.

Biarpun malam Rabu merupakan penampilan keempat berturut-turut beliau dalam kesebelasan utama, dia masih terlihat goyah. Jika Sabtu lalu kesilapan budak sekolah menyebabkan bola terkena tanggannya yang kemudiannya dihukum gol penyamaan dari sepakan penalti lawan, di Larkin dia dilihat membuat dua lagi kesilapan dalam tempoh awal permainan. Pertamanya dia melakukan kekasaran di lokasi berbahaya yang nasib baik gagal dihukum Kuching melalui sepakan percuma, namun selang beberapa minit dia membuat kesilapan besar.

Dia melakukan ‘backpass’ secara tidak berhati-hati dan bola dicuri Michael Ijezie yang meluru untuk menjaringkan gol, tetapi Sharul Nazeem muncul penyelamat dengan melakukan bentesan saat akhir untuk menggagalkan percubaan itu.

Walaupun selepas itu dia bangkit untuk memberikan persembahan yang lebih kemas, dia harus sedari yang kesilapan-kesilapan seperti ini dapat dihukum pasukan yang lebih ampuh, jika dia mahu kekal sebagai pemain utama pasukan.

3) Hakim selamatkan percubaan…yang dibuat Danial

Seorang lagi pemain yang dilihat tenggelam dalam kedua-dua perlawanan terbaru adalah pemain sayap Nor Hakim Hassan. Hakim tidak begitu berjaya menarik pemain pertahanan lawan dan mencari ruang. Yang lebih membuat kita urut dada adalah bukan saja dia tidak dapat membuat percubaan berbahaya, malah turut tidak sengaja ‘menyelamatkan’ percubaan rakan sepasukan, Danial Asri dari masuk untuk gol kedua pasukan pelawat.

Pada minit ke-52, Danial menyungkit bola melepasi penjaga gol Kuching, dan bola melantun mahu masuk ke gawang di tiang jauh. Hakim dan seorang pemain pertahanan lawan meluru, sudah pasti dengan niat berbeza, dan Hakim yang dapat menyentuh bola dahulu. Namun sentuhan janggalnya hanya menghentikan pergerakan bola satu ela dari garisan gol, yang kemudiannya mudah dikeluarkan pertahanan lawan.

Sudah pasti ianya calon ‘miss of the season’ pasukan musim ini.

4) Chang semakin raih perhatian

Bagaimanapun, kita gembira untuk melihat yang masih ada pemain-pemain yang mengekalkan kualiti permainan, dengan Danial Asri yang paling menonjol. Dia membuktikan dua gol dan penglibatan dalam dua lagi gol Sabtu lalu bukanlah nasib semata-mata.

Di Larkin dia menjaringkan gol pertama pasukan dibantu ‘assist’ Alex Agyarkwa, seorang lagi pemain yang mengekalkan prestasi baik, sebelum melakukan lebih banyak percubaan-percubaan berbahaya. Dia tidak dapat menambah jaringan kerana direhatkan awal dalam separuh masa kedua, tetapi dengan bintang penyerang Ifedayo Olusegun dilihat masih belum dapat beraksi, sudah tentu dia akan mendapat lebih banyak peluang untuk menggalas tanggungjawab besar dalam perlawanan-perlawanan seterusnya.

5) Objektif peringkat kumpulan seterusnya

Kemenangan dalam pertembungan Kuching City lawan Selangor ini besar nilainya. Bukan saja ia menghadirkan slot suku akhir dua perlawanan lebih awal, malah ia turut membolehkan Karsten dan anak-anak buah menambah satu lagi objektif; iaitu layak sebagai juara Kumpulan B.

Ahad ini Gergasi Merah akan melayani kunjungan Terengganu ke Stadium MBPJ, yang turut telah layak dan berada di hadapan dengan kelebihan tiga mata berbanding Selangor.

Bukan saja kemenangan ke atas pasukan yang telah tiga kali mengalahkan Selangor musim ini akan mencerahkan lagi peluang untuk menjuarai kumpulan, kemenangan Ahad ini juga akan memberikan Selangor lebih keyakinan dan semangat sebelum berhadapan dengan pasukan-pasukan yang ampuh dalam peringkat kalah mati nanti.

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.