Kuching City tak cukup

Kuching tak cukup staf, rombongan penyokong Selangor batal

Hajat penyokong-penyokong Selangor FC untuk ber’awayday’ kali pertama sejak awal tahun ini tidak kesampaian, setelah perlawanan Gergasi Merah yang dijadualkan malam Rabu ini akan dijalankan tanpa penyokong. Menurut pengumuman, pasukan tuan rumah Kuching City tak cukup pegawai untuk memantau kehadiran penyokong dengan mematuhi langkah-langkah pencegahan wabak Covid-19.

Kredit foto Selangor FC

Dalam perlawanan minggu ketiga Kumpulan B Piala Malaysia Sabtu lalu di antara kedua-dua pasukan di Stadium MBPJ, anak-anak buah Karsten Neitzel menang bergaya 5-1 ke atas pasukan dari Malaysia Timur ini. Penyokong-penyokong tegar Gergasi Merah selepas itu dilihat membuka rombongan-rombongan menemani pasukan menghadapi perlawanan seterusnya, yang dijadualkan berlangsung di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Johor pada hari Rabu, 3 November.

Namun hasrat ini terbantut apabila diumumkan melalui saluran media sosial pada Selasa bahawa mereka tidak dapat membuka perlawanan ini kepada penyokong disebabkan Kuching City tak cukup kakitangan.

“Pihak Kuching City FC ingin memohon maaf kepada semua penyokong kami dan penyokong Selangor FC kerana tidak dapat membenarkan kehadiran penonton ke stadium untuk perlawanan esok.

“Pihak kami tidak mahu mengambil risiko memandangkan kami kekurangan anggota petugas untuk hari perlawanan. Kekurangan petugas akan menyukarkan kami untuk memastikan semua penonton dapat mematuhi SOP yang telah ditetapkan MFL (Malaysian Foobtall League) dan MKN (Majlis Keselamatan Negara).

“Kami ingin memohon maaf kepada semua penyokong kami mahupun penyokong pasukan pelawat kerana tidak dapat membenarkan kehadiran penonton di stadium untuk perlawanan kali ini.”

Pasukan bimbingan Irfan Bakti Abu Salim telah berkampung di Johor dan menjadikan negeri itu pengkalan sejak beberapa bulan lalu bagi memastikan mereka kekal dapat beraksi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Sudah pasti penyokong-penyokong Selangor kecewa dengan keputusan ini, tetapi mereka masih ada sekurang-kurangnya satu lagi perlawanan di tempat lawan, iaitu perlawanan kumpulan terakhir menentang Perak FC di Ipoh pada 10 November.

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.