Joseph Kalang Tie, Kuching idam kejutkan Gergasi

Kuching idam kejutkan Gergasi Merah

Anak-anak buah Karsten Neitzel harus bersedia dari sekarang biarpun Piala Malaysia hanya akan bersambung pada penghujung bulan ini. Puncanya? Kuching idam kejutkan Gergasi sebaik pertandingan bersambung.

Kredit foto Malaysian Football League

Perlawanan seterusnya peringkat kumpulan Selangor FC selepas ini adalah menentang Kuching City di Stadium MBPJ pada 30 Oktober. Walaupun di atas kertas Gergasi Merah dilihat berstatus pasukan pilihan, persembahan bak yo-yo mereka sepanjang musim ini pasti sudah dihidu pasukan divisyen dua ini.

Selepas menamatkan saingan Liga Super 2021 dengan kekalahan mengejut 2-1 kepada Petaling Jaya City di laman sendiri, juara 33 kali Piala Malaysia itu dipaksa berhempas pulas dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B untuk meraih kemenangan tipis 1-0 terhadap pasukan yang sudah tersingkir dari divisyen 1, Perak FC. Dalam perlawanan berikutnya sebelum saingan berehat, mereka ditumbangkan 2-1 oleh satu lagi pasukan pilihan, Terengganu FC di Kuala Terengganu.

Bagi anak-anak buah Irfan Bakti Abu Salim pula, mereka bangkit selepas tumpas 2-0 kepada Terengganu untuk mencatat keputusan seri 2-2 dengan Perak.

Menurut pemain berpengalaman pasukan dari Sarawak ini, Ramesh Lai Ban Huat yang kini sudah berusia 41 tahun, mereka memiliki kualiti untuk mengejutkan sesiapa saja dalam Kumpulan B, termasuk Selangor.

“Dua perlawanan yang dilalui memperlihatkan kualiti yang dimiliki kami sebenarnya tidak berada jauh dengan pasukan di Liga Super malah kami hampir sebenarnya mampu menang semasa dengan Perak. Sayang sekali kami melepaskan jaringan pada 10 minit terakhir perlawanan, jika tidak kami sudah meraih tiga mata yang berharga serta kejayaan sulung kami di Piala Malaysia.

“Bagi perlawanan dengan Selangor nanti, saya rasakan pemain-pemain dijangka tampil lebih bersemangat lagi selepas mendapat tempoh rehat secukupnya dan kami sedia berikan kejutan kepada sesiapa sahaja yang kami temui. Dalam saingan Piala Malaysia, peluang semua pasukan sebenarnya adalah terbuka dan saya rasa kami tidak perlu rasa gentar dengan mana-mana pasukan yang akan ditemui terutama Terengganu atau Selangor,” kata pemain pertahanan ini seperti yang dipetik dari Malaysian Football League (MFL).

Sentimen Kuching idam kejutkan Gergasi ini turut diulangi ketua pasukan, Joseph Kalang Tie yang pernah bermain dengan Merah Kuning dan Terengganu sebelum ini.

“Berdasarkan pengalaman, sebenarnya prestasi antara semua pasukan tidak berada terlalu jauh cuma ada kalanya mentaliti sahaja yang membezakan. Sebagai contoh, jika berdepan dengan pasukan yang punyai reputasi besar seperti Terengganu dan Selangor, ada kalanya timbul perasaan terlalu rasa hormat yang membuatkan mereka sukar berikan saingan.

“Jadi, pemain-pemain perlu percaya atas kemampuan diri sendiri yang mereka boleh menang jika tampil prestasi terbaik pada hari perlawanan. Selepas musim lalu berjaya cipta sejarah ke Piala Malaysia (kejohanan dibatalkan ekoran COVID-19), saya harap kali ini kami mampu melakar sesuatu yang lebih bermakna buat Kuching City,” katanya.

Follow laman Facebook kami untuk mendapatkan perkembangan terbaru Selangor FC

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.