Terengganu, Perak, Kuching dalam kumpulan Selangor Piala Malaysia

Rekod Selangor menentang, Terengganu, Perak & Kuching

Setelah pusingan terakhir Liga Premier 2021 berlangsung pada Selasa lalu, akhirnya terjawab teka-teki baki satu lagi lawan kumpulan Selangor Piala Malaysia 2021. Selangor FC sebelum itu telah diundi dalam kumpulan B bersama-sama Terengganu FC, Perak FC dan pasukan bukan simpanan ketiga terbaik divisyen dua.

Selepas merekodkan kemenangan 2-0 di laman sendiri menentang Perak II tempoh hari, Kuching City berjaya mengesahkan tempat mereka sebagai pasukan ketiga ini. Ini sekaligus melayakkan mereka ke Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut sejak penubuhan mereka.

Setelah ketiga-tiga lawan kumpulan Selangor Piala Malaysia kini diketahui, mari kita teliti rekod pertembungan Gergasi Merah menentang mereka dalam Piala Malaysia secara khurus, dan perlawanan-perlawanan lain secara umumnya.

Terengganu FC

Walaupun diundi dari balang 1, ketua jurulatih skuad Penyu Nafuzi Zain baru-baru ini menyifatkan Merah Kuning, pasukan balang 2, sebagai pasukan terkuat dalam kumpulan. Sudah pasti ini hanya mainan psikologi Nafuzi, jika dilihat dari rekod terbaru kedua-dua pasukan ini.

Menerusi rekod pertembungan kedua-dua pasukan ini dalam Piala Malaysia dari tahun 2005, sejumlah 14 kali, dapat dilihat yang ia merupakan pertembungan sengit. Selangor telah memenangi empat perlawanan, Terengganu lima, dan seri lima kali.

Rekod 10 pertembungan terbaru dalam kesemua pertandingan juga hampir sama; empat kemenangan bagi Selangor dan Terengganu masing-masing, dan dua seri. Namun begitu, kedua-dua pertembungan mereka tahun ini, dalam saingan Liga Super, berpihak kepada pasukan Pantai Timur Semenanjung Malaysia ini, dan ini sudah tentu bermakna kelebihan ada bersama mereka dalam saingan akan datang.

Perlawanan di Kuala Terengganu akan berlangsung pada Rabu, 29 September, manakala laga di Stadium MBPJ akan dimainkan pada Ahad, 7 November.

Perak FC

Sebuah lagi pasukan yang sentiasa memberi tentangan sengit terhadap Merah Kuning, biarpun nasib mereka berbeza musim ini.

Sejak 2005, kedua-dua pasukan ini hanya bertemu sebanyak enam kali dalam Piala Malaysia, dengan tiga perlawanan dimenangi Selangor, dua kepada pasukan dari Ipoh, dan satu seri. Pertembungan terbaru mereka dalam kejohanan ini adalah pada edisi 2019, dalam peringkat suku akhir. Selangor tunduk 1-0 di Ipoh, tetapi berjaya melakar kemenangan 3-1 dalam perlawanan kedua di laman sendiri untuk mara ke peringkat seterusnya.

Dalam 10 pertembungan terbaru mereka dalam kesemua pertandingan, empat dimenangi Selangor, tiga Perak dan tiga seri.

Namun begitu, musim ini, tahun keseratus penubuhan Perak (dan juga Piala Malaysia), mereka dirundung malang apabila dipalit isu kewangan dan prestasi yang mengakibatkan mereka tersingkir dari Liga Super buat kali pertama dalam sejarah pertandingan ini. Selangor juga menang mudah dalam kedua-dua perlawanan liga menentang Perak musim ini, 3-1 dan 3-0, yang bermakna kegagalan untuk menang ke atas Perak dalam Piala Malaysia nanti, adalah ibarat mencari pasal dengan penyokong.

Perlawanan di MBPJ adalah pada pusingan pertama, Ahad 26 September, manakala di Ipoh pada Rabu 10 November.

Kuching City

Pasukan Malaysia Timur yang baru menyertai piramid bolasepak negara pada musim 2017 ini belum pernah bertembung dengan Selangor dalam mana-mana pertandingan. Namun sejak musim 2020 mereka sudah bersaing dalam Liga Premier, dan juga bersaing dengan pasukan-pasukan divisyen satu dalam Piala FA dan Piala Malaysia, jadi mungkin dari sini kita dapat buat sedikit perbandingan.

Dalam musim 2018, mereka bertemu Kuala Lumpur dalam perlawanan Piala FA di Cheras, dan ditumpaskan 4-0. Pada musim berikutnya, dalam pertandingan yang sama, mereka memaksa Felda United bekerja keras selama 90 minit sebelum dikecewakan gol tunggal perlawanan yang dijaringkan S. Chanturu. Pada musim 2020, Piala FA terpaksa dibatalkan akibat wabak Covid-19 dan mereka terlepas peluang berentap dengan UiTM FC seperti yang telah dijadualkan, namun mereka kemudiannya layak ke Piala Malaysia buat kali pertama dalam sejarah. Mereka sekali lagi berjaya mengerah keringat pasukan pilihan, kali ini JDT FC yang hanya menang 1-0 dalam perlawanan peringkat 16 terakhir (format tahun ini ditukar akibat Covid-19, namun akhirnya dibatalkan terus selepas hanya satu perlawanan dijalankan).

Musim ini pula, mereka seri sekali dan kalah sekali dengan Negeri Sembilan, dan menang sekali dan kalah sekali dengan Sarawak United dalam Liga Premier, dengan kedua-dua pasukan ini kemudiannya berjaya memenangi promosi ke divisyen satu musim 2022.

Dapat disimpulkan yang walaupun mereka merupakan pasukan bukan pilihan kumpulan Selangor Piala Malaysia, Kuching mungkin dapat mengejutkan anak-anak buah Karsten Neitzel, apatah lagi bila kita melihat persamaan di antara mereka dengan sebuah lagi kelab yang boleh dikatakan pendatang baru.

Hanya menyertai Liga Super bermula musim 2019, Petaling Jaya City (PJ City) memang sebuah pasukan yang liat dalam setiap perlawanan menentang Selangor. Empat perlawanan pertama disudahi dengan dua kemenangan Selangor dan dua seri, namun mereka merekodkan kemenangan pertama ke atas Selangor dalam sejarah mereka, baru-baru ini dalam minggu terakhir Liga Super musim 2021. Jika Selangor memandang rendah Kuching dalam Piala Malaysia, sudah pasti mereka akan lebam sebelah mata lagi.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.