import muda Selangor

Apa yang kita lihat dalam pertemuan Perak-Selangor

Biarpun dibarisi ramai pemain simpanan, pasukan Karsten Neitzel masih mampun mengutip kemenangan 2-1 dalam perlawanan terakhir mereka dalam Kumpulan B Piala Malaysia. Berikut merupakan kupasan Perak lwn Selangor FC, aksi terakhir Gergasi Merah sebelum saingan suku akhir.

Kredit foto utama Selangor FC

Masalah penjaga gol berlarutan

Dalam dua perlawanan sebelum ini, kesilapan-kesilapan penjaga gol utama Khairulazhan Khalid membawa kepada keempat-empat gol lawan. Mungkin atas sebab ini penjaga gawang kedua Tauffiq Ar Rasyid Johar, penampilan pertamanya musim ini

…dan tak sampai 10 minit aksi bermula, kesilapan menghairankan pemain berusia 25 tahun ini menyebabkan gol pembukaan tuan rumah.

Pastinya posisi penjaga gol kini merupakan satu isu yang membuatkan Karsten pening kepala sebelum aksi suku akhir hujung minggu ini. Jadi tidak hairanlah yang selepas perlawanan itu, timbul berita bahawa kelab telah menandatangani seorang pemain baru.

Penampilan pertama dan kepulangan

Saiful Iskandar Adha Saiful Azlan dan Aidil Azuan muncul pemain pasukan simpanan kesepuluh dan kesebelas mendapat aksi dengan pasukan utama musim ini. Aidil sedikit goyah di bahagian pertahanan kiri, tetapi Saiful yang beraksi sebagai sayap kiri dilihat bermain baik terutamanya pada separuh masa pertama, semasa ketinggalan.

Lebih menggembirakan adalah kepulangan tak dijangka pemain-pemain dari Jerman, Manuel Konrad dan Tim Heubach setelah lama tercedera. Persembahan mereka tidak meyakinkan sebelum dikeluarkan pada waktu rehat, tetapi mereka tidak boleh dipersalahkan apabila diberi peluang beraksi hanya untuk mengembalikan ketajaman dan ‘match fitness’.

Perkembangan ini seharusnya menggembirakan penyokong-penyokong kerana ia bermakna yang pasukan ada ramai pemain yang boleh diharapkan dalam menempuh saingan kalah mati.

Semangat melawan

‘Comeback is real’ katanya dan itu yang dilakukan Gergasi Merah semalam. Perlawanan yang masih boleh disifatkan sukar kerana menurunkan ramai pemain simpanan dan aksi di tempat lawan menentang pasukan yang mahu menamatkan aksi musim ini secara positif, disukarkan lagi oleh gol awal Perak hasil kesilapan Tauffiq.

Tetapi setelah pertukaran-pertukaran dilakukan selepas waktu rehat, pasukan pelawat mendominasi perlawanan dan mengasak pertahanan Seladang tanpa lelah (walaupun adakalanya tanpa idea jelas juga). Ini membuahkan hasil apabila dua jaringan dapat dilakukan dalam 20 minit akhir perlawanan.

Ini merupakan kemenangan keempat Selangor musim ini setelah pasukan lawan membuka jaringan terlebih dahulu, dan keupayaan membuat ‘comeback’ ini harus dipamerkan dalam saingan kalah mati yang lebih mencabar.

Tetapi perlu dinyatakan, lebih baik jika perlawanan dimenangi secara mudah dari awal-awal permainan tanpa memerlukan usaha yang dramatik!

Dari hina ke wira

Dua-dua jaringan Selangor di Ipoh dilakukan oleh pemain-pemain yang tidak diberi perhatian; gol Sean Selvaraj menyamakan kedudukan sebelum Wan Zack Haikal menghadirkan tiga mata penuh melalui sepakan percuma cantik.

Nama kedua-dua ini adakalanya disebut penyokong hanya sebagai ‘punchline’, dan di media sosial kerap dikecam seolah-olah penjahat disebabkan prestasi yang tidak baik, jadi suka untuk kita melihat mereka membuktikan yang mereka masih boleh diharapkan.

Ia juga pengajaran buat kita supaya memahami hakikat bahawa prestasi yang baik itu tidak boleh dimunculkan begitu sahaja ibarat silap mata oleh pemain-pemain. Ia memerlukan masa, kerja keras, kepercayaan jurulatih dan juga sokongan peminat.

Apa gunanya penyokong di media sosial mencemuh pemain-pemain yang pastinya tidak ada niat untuk memberikan prestasi hambar dan seterusnya lebih menggoyahkan keyakinan mereka, sedangkan jika diberikan ruang dan masa, pemain-pemain ini boleh kembali ke puncak prestasi untuk menjadi wira pasukan?

Tamat kupasan Perak lwn Selangor. Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.