kupasan Selangor lwn KLC

Apa yang kita lihat dalam pertemuan Selangor-Kuala Lumpur City

Anak-anak buah Karsten Neitzel kembali menunjukkan masalah-masalah biasa dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia mereka menentang Kuala Lumpur City (KLC) pada Ahad, 14 November, dan hasilnya mereka kini menghampiri penyingkiran. Berikut merupakan kupasan Selangor lwn KLC.

Kredit foto Selangor FC

Dari awal dah gagal

Pasukan Karsten memang diketahui jarang bermula baik dalam perlawanan-perlawanan penting, dan pada Ahad permulaan buruk ini sebahagiannya berpunca dari pengendali asal Jerman itu sendiri. Dalam ‘preview‘ yang kami terbitkan sebelum perlawanan, kami menyatakan pentingnya untuk menghabiskan aksi suku akhir ini dari aksi pertama di laman sendiri atas beberapa sebab, tetapi Karsten membuat keputusan-keputusan yang aneh dalam kesebelasan utama.

Wan Zack Haikal dan Sean Selvaraj yang masing-masing menjaringkan gol dalam kemenangan ‘comeback’ menentang Perak FC tidak diberi kepercayaan memulakan permainan, sebaliknya Nor Hakim Hassan yang tidak begitu tajam yang mendapat tempat. Di bahagian tengah, Oliver Buff yang baru pulih dari cedera sebaliknya terus dikerah bermain 90 minit penuh. Di bahagian pertahanan, A. Namathevan bermain di posisi bek kanan dan Syahmi Safari di kiri, yang menyebabkan Jordan Ayimbila diletakkan di bangku simpanan. Shivan Pillay yang tidak menunjukkan aksi baik sepanjang Piala Malaysia juga berada dalam kesebelasan utama, sedangkan Ashmawi Yakin yang ada lebih sedikit pengalaman berada di bangku.

Lebih menghairankan lagi, Tim Heubach dan Manuel Konrad yang mendapat aksi selama 45 minit menentang Perak, aksi pertama mereka setelah kembali pulih dari kecederaan lama, langsung tidak nampak batang hidung di sekitar Stadium MBPJ.

Apa yang mahu dilakukan Karsten hanya dia saja yang tahu. Jika rancangannya adalah untuk menyerap tekanan dalam aksi pertama sebelum ‘all out’ dalam aksi kedua, harapnya dia ada pelan untuk kembali dari ketinggalan dua gol di gelanggang di mana tuan rumah langsung tidak pernah kalah sepanjang tahun.

Dua pasukan berbeza

Aksi malam Ahad juga mempamerkan aksi dua pasukan yang amat berbeza. Tuan rumah yang memiliki pemain-pemain yang memiliki reputasi baik dipimpin oleh jurulatih yang diragui kebolehannya, manakala pasukan pelawat yang dibarisi majoriti pemain tidak ternama mendapat bimbingan pelatih berpengalaman Bojan Hodak.

Apabila tuan rumah bermain seolah-olah tiada hala tuju dan idea, pasukan pelawat tahu apa yang mereka perlu lakukan untuk menyerang sebaik saja mereka merampas semula bola.

Sedang bintang-bintang Selangor bermain gugup dari wisel permulaan seolah-olah telah ketinggalan 3-0, pemain-pemain KLC bermain secara berdisiplin dan mengikut arahan.

Sewaktu percubaan-percubaan yang dilakukan Gergasi Merah lebih bersifat cuba nasib atau ‘Insya Allah’, penyerang-penyerang The City Boys sama ada yang memulakan permainan atau pemain gantian tidak mensia-siakan peluang yang terhidang.

‘Bantuan’ pengadil elak tewas besar

Pengadil Nafeez Wahab dilihat memberi banyak keputusan yang membantu Selangor. Dalam separuh masa pertama ada satu kekasaran oleh Sharul Nazeem tidak dihukum dengan sepakan penalti, manakala selepas rehat ketua pasukan Syahmi Safari terselamat dari dilayangkan kad kuning kedua kerana bentesan liarnya. Jika Nafeez tidak ‘bersimpati’ kepada anak-anak buah Karsten, pastinya Selangor terpaksa beraksi dengan 10 orang dan kalah dengan jurang gol yang lebih besar.

Tamat kupasan Selangor lwn KLC. Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

One Reply to “Apa yang kita lihat dalam pertemuan Selangor-Kuala Lumpur City”

  1. Azim

    Saya tak setuju dgn review ni. Saya rasakan lineup yg diturunkan Karsten Neitzel adalah yg sesuai dgn game menentang pasukan KL. Bahagian serangan adalah paling kuat dan pantas buat pasukan Selangor terutama sekali dgn ketiadaan Ifedayo di bahagian serangan. Midfield trio adalah midfield yg terbaik untuk mencipta peluang utk barisan serangan menjaringkan goal dan menguasai permainan. Mungkin dari segi pertahanan dua pertahanan tengah mungkin boleh digantikan dgn Jordan dan Shahrul Nazeem, ini adalah kerana kepantasan Jordan mampu memenangi tackle apabila pasukan KL melakukan counter attack. Pasukan KL dgn jelas hanya bermain bertahan dan serang apabila pasukan Selangor melakukan kesilapan, ini jelas dgn bagaimana KL menjaringkan dua2 goal tersebut. Karsten cuba untuk memenangi perlawanan ini dgn penguasaan possession dan ini sgt jelas kita dpt lihat Selangor menguasai perlawanan tersebut dan hantaran2 penting dilakukan mereka. Heubach dan Konrad jelas memerlukan match fitness dan rentak kerana berada lama di bangku keceredaan. Dan Shahrel Fikri masih memerlukan fitness utk bermain 90minit sepenuhnya.

    Sebab utama Selangor tidak dpt menang adalah jentera serangan yg tumpul, ini kita dpt lihat dari permulaan piala malaysia lagi dan ini sgt jelas dgn kehilangan Ifedayo. Selangor adalah pasukan yg kuat dan mampu menjaringkan goal di minit2 akhir adalah kerana penguasaan bola dan fitness yg tinggi. Namun apabila bertemu dgn pasukan yg kuat, yg paling penting adalah kualiti. Pasukan KL jelas mengunci gerakan Hein Htet Aung dan Shahril Fikri membuatkan bahagian serangan hadapi tugas sukar utk menjaringkan goal, namun apabila mempunyai peluang muncul mereka gagal menjaringkan goal. Substitution Karsten juga serba tidak menjadi terutamanya Wan Zack tidak dpt menyesuaikan rentak permainan tersebut dan gandingan beliau dan Jordan serba tidak menjadi. Atram juga tidak mampu menyaingi pertahan KL, namun sy percaya ini adalah pertukaran atas match fitness Shahrel Fikri yg masih memerlukan masa utk bermain 90minit sepenuhnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.