Kurniawan Dwi Yulianto

Lawan seterusnya Selangor beraksi tanpa ketua jurulatih

Ingin bangkit dari kekecewaan gagal menang dalam perlawanan Liga Super terbaru mereka, Selangor FC dilihat mendapat ‘bantuan’ dari situasi terbaru lawan mereka pada Ahad nanti, Sabah FC. Skuad Badak yang akan melayan kunjungan Gergasi Merah di Kota Kinabalu pada 5 September ini dalam pusingan ke-21, dilaporkan telah merehatkan ketua jurulatih mereka, Kurniawan Dwi Yulianto akibat prestasi buruk pasukan.

Dibelenggu tujuh perlawanan tanpa kemenangan, Sabah terus malap dalam perlawanan terbaru mereka Sabtu lalu. Berdepan pasukan tangga tercorot, UiTM FC di tempat lawan, mereka dibelasah 4-0 oleh ‘budak-budak universiti.’ Walaupun mereka boleh dikira selamat di tangga ketujuh liga dengan dipisahkan enam mata dari zon penyingkiran, pengurusan kelab mengambil keputusan drastik.

Menurut laporan Astro Awani, kelab itu telah merehatkan pengendali dari Indonesia itu pada hari Ahad, dan tugasnya diambilalih penolong jurulatih Burhan Ajui buat sementara waktu.

Kelab itu juga menjelaskan yang kebajikan pegawai dan pemain-pemain kekal terjaga, dan ianya bukan punca kemerosotan prestasi semasa.

Di bawah kendalian Kurniawan Dwi Yulianto, Sabah telah berhadapan dengan Selangor sebanyak dua kali; satu seri dan satu kalah.

Namun di sebalik kesulitan yang dihadapi lawan Merah Kuning Ahad ini, sudah pasti anak-anak buah Karsten Neitzel tidak boleh memandang enteng perlawanan ini. Apatah lagi, fenomena yang disifatkan sebagai ‘new manager bounce’ merupakan satu kejadian biasa dalam sukan ini. Mereka tidak boleh lagi keciciran mata sekiranya mahu menamatkan liga di kedudukan yang lebih baik.

Dalam pertembungan terbaru kedua-dua pasukan pada 23 April, dalam pusingan kesepuluh, pasukan pelawat yang terlebih dahulu membuka jaringan melalui bekas pemain Selangor Amri Yahyah pada minit ke-31. Merah Kuning bangkit mendahului menerusi ‘brace’ Ifedayo Olusegun pada minit ke-57 dan 72, tetapi kecuaian di saat akhir membolehkan Bobby Gonzales menanduk masuk gol penyamaan saat-saat akhir pada minit ke-88.

Kecuaian di saat akhir inilah yang kerap dilakukan pasukan Selangor musim ini, terbaru sekali hanya minggu lalu berdepan Melaka United, dan telah menyebabkan mereka keciciran mata dan kedudukan liga.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.