latihan terakhir sebelum Selangor

Preview Selangor lwn Terengganu: Persediaan lawan tiga lagi ‘Terengganu’

Walaupun dipaksa berhempas pulas untuk menang, tiga mata berjaya dikutip anak-anak buah Karsten Neitzel dalam perlawanan Kumpulan B Piala Malaysia mereka menentang Kuching City pada Rabu lalu. Setelah mempamerkan sikap ‘awal tak kalut’ dengan menghasilkan kemenangan 2-1 ini, mereka kini akan menjalani sebuah perlawanan ibarat latihan terakhir sebelum Selangor FC mengharungi peringkat kalah mati.

Kredit foto Malaysian Football League

Tumbangkan Terengganu sebelum hadapi tiga lagi ‘Terengganu’

Setelah Selangor dan Terengganu FC kedua-duanya mengesahkan tempat dalam peringkat suku akhir, mereka akan bertembung di Stadium MBPJ pada Ahad, 7 November ini. Bagi pasukan tuan rumah, baki dua lagi perlawanan kumpulan ini perlu digunakan untuk memperkukuhkan pasukan sebelum menempuh saingan suku akhir.

Kemenangan ke atas Sang Penyu akan memungkinkan Gergasi untuk merampas tempat pertama dalam kumpulan dan mendapat slot yang lebih selesa, namun ini bukanlah sasaran utamanya. Apatah lagi menurut Karsten, semua pasukan yang layak ke suku akhir adalah pasukan yang kuat.

Apa yang perlawanan menentang Terengganu tawarkan adalah ibarat satu latihan terakhir sebelum Selangor menempuh saingan yang lebih mencabar dalam saingan kalah mati. Dan siapa lagi yang lebih layak untuk mengajar anak-anak buah Karsten melainkan pasukan yang memenangi ketiga-tiga pertembungan Selangor-Terengganu musim ini, dan telah mengutip mata penuh dari kesemua empat perlawanan kumpulan mereka setakat ini?

Rekod buruk musim ini Gergasi bertembung juara sekali Piala Malaysia ini tidak perlulah diteliti di sini, tapi kemenangan pertama ke atas pasukan yang seampuh ini sudah pasti akan menyuntik lebih keyakinan kepada penyokong setia Merah Kuning, malah kepada pemain-pemain juga. Jangan dilupa, jika mereka mahu layak ke perlawanan akhir, ia ibarat perlu berhadapan dengan tiga Terengganu FC.

Yang baiknya, Karsten menyatakan yang hanya tiga mata menjadi buruan mereka Ahad ini, menurut temubual ringkas yang dijalankan pihak kelab.

“Sudah tentu kami mahu tiga mata di sebalik lawan yang sukar dan pemain-pemain yang tercedera.

“Saya akan turunkan pemain-pemain yang lebih senior jika mereka cergas, tapi buat masa ini kami ada ramai pemain muda yang boleh diharapkan,” jelas pengendali dari Jerman ini.

Keberadaan dan kemungkinan kesebelasan utama

Rabu lalu, pertahanan kanan Syahmi Safari kembali beraksi setelah pulih dari cedera dan dijangka akan berada dalam kesebelasan utama menentang Terengganu.

Penjaga gol: Khairulazhan Khalid

Pertahanan: Syahmi, Ashmawi Yakin, Sharul Nazeem, Jordan Ayimbila

Tengah: Safuwan Baharudin, Hein Htet Aung, Alex Agyarkwa

Serangan: Aliff Haiqal, Danial Asri, Shahrel Fikri

Ifedayo Olusegun (kecederaan jangka pendek)

Brendan Gan, R. Dinesh, Halim Saari (sehingga tamat musim)

Mukhairi Ajmal, Harith Haiqal, Zikri Khalili, Sikh Izhan (Malaysia B-23)

Landasan juara

Banyak sekali perkara yang berlaku di luar padang sepanjang minggu ini, banyak yang disebabkan pihak lain tapi ada juga salah sendiri. Kemenangan ke atas pasukan pilihan sudah pasti akan meletakkan kembali Gergasi di landasan juara tanpa perlu kisahkan cakap-cakap dan fitnah luar.

Harap-harapnya penyokong juga dapat membantu pasukan dengan turun ke stadium, biarpun harga tiket RM30 (harga perlawanan tier satu di bawah situasi pandemik) dilihat menjadi punca rungutan di media sosial kelab.

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.