Perlawanan Liga FAS

Liga FAS harap dapat bersambung semula segera

Dalam satu temubual dengan stesen radio Selangor FM pada hari Selasa, 24 Ogos, Fikri Aris, Ketua Unit Pertandingan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menyatakan harapan beliau supaya pertandingan Liga FAS dapat dijalankan semula secepat mungkin.

Liga utama negeri ini, yang terdiri dari empat divisyen, terhenti sejak wabak Covid-19 merebak di negara ini pada tahun 2020, dan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya kegiatan-kegiatan sukan secara amatur dan rekreasi dihentikan. Situasi ini bukan saja dihadapi Liga FAS, tetapi juga liga-liga negeri lain di Malaysia, menyebabkan salah satu aktiviti bolasepak akar umbi terbantut sudah setahun lebih.

Jika dilihat dari laman sesawang liga, ia mula tertangguh pada bulan Mac 2020. Ia disambung sebentar pada September tahun yang sama, tetapi dihentikan semula sebulan kemudian.

Walaupun sukar untuk merancang kembalinya aksi pertandingan ini, Fikri menyatakan yang persatuan sudah menyiapkan beberapa pelan berdasarkan kemungkinan kebenaran aktiviti sukan dan rekreasi oleh kerajaan Malaysia.

“Kita tak ada tarikh yang khusus lagi [untuk menyambung liga], cuma buat masa ini kita ada ‘Plan A’, ‘Plan B’, ‘Plan C’, [berdasarkan] tarikh liga boleh mula dianjurkan. Ia bergantung kepada situasi semasa pandemik.”

Di samping liga peringkat senior, Fikri turut mendedahkan perancangan FAS untuk menganjurkan liga wanita, liga junior dan liga belia, yang bakal disaingi pasukan-pasukan jemputan.

Buat masa ini, Liga FAS ditandingi 80 pasukan, dengan setiap divisyen terbahagi kepada dua kumpulan, dan setiap kumpulan mempunyai 10 pasukan. Menurut Fikri, ia merupakan liga negeri tertua di Malaysia, dan mula dipertandingkan dari tahun 1935.

Ramai bintang-bintang Selangor dan Malaysia telah dicungkil bakatnya melalui liga ini, seperti Mokhtar Dahari, R. Arumugam dan Zainal Abidin Hassan. Antara pemain-pemain profesional di Malaysia masa kini yang pernah mengasah bakat dalam Liga FAS merupakan pemain-pemain Selangor FC sendiri seperti Danial Asri dan Shahrul Nazeem Zulpakar, pemain tengah UiTM FC Dirga Surdi, dan ‘midfield’ Negeri Sembilan, Alif Romli.

Dalam temubual itu juga, Fikri ada menerangkan serba-sedikit mengenai struktur liga-liga kelolaan FAS. Ia boleh ditonton di sini.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.