liga lelaki dan wanita

Aksi bola sepak masih berjalan walaupun saingan profesional 2021 tamat

Liga-liga lelaki dan wanita FAS (Persatuan Bolasepak Selangor) telah berjalan pada hujung minggu lalu. Liga-liga lelaki 2021 bersambung dalam edisi FAS Return To Play, iaitu edisi pertama liga setelah lama terhenti akibat wabak Covid-19, manakala liga wanita, Women’s Super League (WSL) memulakan saingan buat pertama kali dalam sejarah.

Kredit foto FAS

Perlawanan-perlawanan liga-liga lelaki yang terdiri dari empat divisyen (Super, Perdana, Bahagian 1 dan Joma) telah dilangsungkan pada hujung minggu lalu dengan tiga divisyen teratas beraksi dalam pusingan 16 terakhir, manakala Liga Joma yang dibahagikan kepada dua kumpulan bersambung dengan pusingan kelima. SA Bujangga kini mendahului Kumpulan A dengan 12 mata, dan KRU FC memimpin Kumpulan B juga dengan kutipan mata yang sama. Pusingan seterusnya akan dimainkan hujung minggu akan datang, sebelum turut disambung dengan pusingan kalah mati.

Liga-liga Super, Perdana dan Bahagian 1 pula menyaksikan aksi pusingan 16 terakhir dilangsungkan hujung minggu lalu. Sebelum itu, tiap-tiap divisyen dibahagikan kepada empat kumpulan yang disertai empat kelab dan selepas tiga pusingan, kesemua pasukan mara ke peringkat kalah mati mulai dari pusingan 16 terakhir.

Format pembahagian setiap divisyen kepada empat kumpulan ini hanya digunakan dalam edisi FAS Return To Play 2021 kerana jendela masa yang singkat. Atas sebab yang sama juga, peringkat Selangor Champions League tidak akan dijalankan tahun ini dan hanya akan kembali tahun depan.

Berikut merupakan keputusan perlawanan-perlawanan peringkat 16 terakhir bagi Liga-liga Super, Perdana dan Bahagian 1.

Pusingan suku akhir bagi ketiga-tiga divisyen ini akan dijalankan pada hujung minggu ini, dan perlawanan-perlawanan akhir ditetapkan akan dimainkan pada 18 Disember nanti.

Selang beberapa hari pula, sejarah ditempa apabila pusingan pertama edisi pertama WSL (Liga Super Wanita), liga wanita negeri Selangor telah dilangsungkan di Radia Arena, Bukit Jelutong. Pertama kali diumumkan secara rasmi pada bulan Oktober, FAS menjalankan beberapa program persediaan bagi WSL 2021, dan sepak mula pertandingan ini dilakukan seperti yang telah dirancang, pada 29 November.

Sepuluh pasukan berentap dalam dua kumpulan, dengan dua aksi Kumpulan A dan dua perlawanan Kumpulan B, dijalankan pada Isnin.

Dalam Kumpulan A, FC Swat seri 3-3 dengan Footsouls, manakala UiTM FC membenam First 11 3-0. Dalam Kumpulan B, Leopard FC menumpaskan Rhym Rovers 4-0, manakala MBSJ FC mengalahkan SA United 6-0. Kerana jumlah pasukan dalam kedua-dua kumpulan yang ganjil, Radia Ladies dan Negeri Sembilan FC tidak beraksi dalam minggu pembukaan dan hanya akan beraksi buat kali pertama dalam minggu kedua, 6 Disember.

Keempat-empat perlawanan ini turut disiarkan secara penstriman langsung di Facebook dan Youtube, dan menurut FAS ia telah ditonton oleh 63,300 peminat.

Sementara menantikan bermulanya musim baru bolasepak profesional Malaysia tahun depan, ada baiknya peminat-peminat bolasepak di negeri Selangor memberikan perhatian pula kepada liga-liga lelaki dan wanita FAS, yang merupakan platform kepada pencarian bakat-bakat baru. Liga-liga FAS telah pun mencungkil bakat beberapa pemain profesional semasa, seperti Dirga Surdi yang baru sahaja menyertai Sabah FC, dan juga ‘centre back’ Selangor FC sendiri iaitu Sharul Nazeem Zulpakar.

Ikuti maklumat lebih lanjut di laman sesawang rasmi FAS.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.