Liga Super mengandungi Selangor FC

Penang dan KDA menang, Merah Kuning berkalau

Walaupun Selangor FC melonjak ke tangga ketiga Liga Super setelah mengatasi Perak FC 3-0 di tempat lawan pada Sabtu, 21 Ogos, kedudukan itu hanya bertahan selama satu malam.

Pada malam berikutnya, Penang FC mengambil semula kedudukan itu melalui kemenangan selesa 3-0 ke atas Sabah FC. Di samping itu, Kedah Darul Aman (KDA) yang hanya berada satu anak tangga di bawah Selangor di tempat kelima disebabkan jumlah jaringan, telah menjalani hanya 16 perlawanan berbanding Selangor 19.

Perlu diingatkan sekali lagi, pengakhiran di tangga kedua liga membawa slot automatik ke Piala AFC 2022, dengan skuad Merah Kuning telah mensasarkan untuk layak ke peringkat Asia sejak berada di bawah pimpinan pengerusi kelab, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin. (JDT FC di tangga pertama dengan 48 mata.)

Walaupun tidak mustahil, peluang Gergasi Merah untuk menamatkan saingan liga di tangga kedua atau ketiga kini agak berliku.

Terengganu FC kekal di tangga kedua dengan 37 mata, dan agak sukar dicabar Merah Kuning dengan baki hanya tiga perlawanan. KDA nampak tidak akan berdepan masalah untuk memenangi enam baki perlawanan (mereka kelihatan sudah ‘insaf’ selepas diberi pengajaran kekalahan 4-2 di laman sendiri hampir dua minggu lalu oleh Selangor!) Hanya Penang yang mungkin dapat digugat, kerana mereka bakal bertandang menentang Sri Pahang dan selepas itu berhadapan Terengganu.

Sementara itu, Gergasi Merah bakal menghadapi Melaka United di Stadium MBPJ, Sabah FC di Kota Kinabalu, dan kembali ke laman sendiri untuk bertemu Petaling Jaya City (PJ City). Di atas kertas, tidak mustahil tiga pasukan ini bakal menjadi mangsa Gergasi yang sedang mengganas dengan empat kemenangan berturut-turut.

Namun ianya di atas kertas semata-mata, dan ini yang menjadi isunya.

Dalam pusingan pertama liga, Sabah berjaya mencuri satu mata di Stadium MBPJ melalui jaringan penyamaan saat-saat akhir. Melaka dan PJ City pula hanya dapat ditumpaskan menerusi jaringan kemenangan akhir perlawanan, selepas berhempas-pulas.

Entah mengapa, pasukan Merah Kuning begitu kerap beraksi longlai di separuh awal musim, dan hanya mendapat momentum mereka di pertengahan persaingan. Bayangkan jika mereka bermain baik dan tidak melepaskan gol penyamaan saat akhir menentang Sabah dan Sri Pahang, tak juga kalah mengejut di laman sendiri kepada Penang, dan berjaya memenangi sekurang-kurangnya sekali dengan Kuala Lumpur City. Sudah pasti pasukan kita yang kini selesa di tempat kedua, dan hanya perlu menentukan nasib sendiri.

(Penulis tak mahu berkalau-kalau mengenai perlawanan menentang Terengganu dan KDA, sebab itu ibarat meminta bulan dan bintang!)

Kemenangan terbaru ke atas Perak pun tidak boleh dibanggakan sebenarnya, di sebalik jumlah jaringan. Seladang kini semakin merudum di zon penyingkiran, tapi kalau perlawanan tempoh hari ditonton dengan jumlah jaringan tidak ditunjuk di skrin, ia ibarat satu perlawanan di antara dua pasukan yang bakal tersingkir. Ada masanya Perak pula yang galak menyerang dan mengancam, seolah-olah mereka bukan satu pasukan yang sedang menghadapi masalah gaji dan pengurusan.

Walaupun aksi Liga Super tahun ini bakal disusuli oleh Piala Malaysia, diharapkan pihak pengurusan dapat mengatasi isu ‘ceroi’ awalan ini pada musim depan. Ia bukannya masalah baru, ia berlaku di bawah kendalian B. Satiananthan, dan ia masih terjadi tahun ini di bawah Karsten Neitzel. Sebuah pasukan yang mantap akan beraksi baik dari saat pertama, minit pertama, separuh masa pertama, perlawanan pusingan liga pertama, dan tidak memerlukan masa yang lama untuk menunjukkan prestasi tinggi.

Baca juga: Masa depan Merah Kuning ada di Stadium MBPJ, bukan Stadium Shah Alam

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.