Liga Super Wanita FAS

Format Liga Super Wanita diumumkan FAS

Setelah mengumumkan FAS Women’s Super League ataupun Liga Super Wanita FAS, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada Khamis 14 Oktober mendedahkan lebih banyak butiran mengenai edisi pertama kejohanan bolasepak wanita peringkat negeri ini.

Kredit foto Persatuan Bolasepak Selangor

Dalam satu siaran media, FAS menyatakan yang edisi tahun ini yang akan bermula pada 29 November di Radia Arena, Bukit Jelutong, akan disertai oleh 12 pasukan wanita di negeri Selangor. Perlawanan akhir pula dijadualkan berlangsung di Stadium MBSJ, Subang Jaya pada 22 Januari tahun depan.

Berikut merupakan format pertandingan edisi ini, seperti yang dijelaskan persatuan:

  1. Kesemua pasukan yang mengambil bahagian bakal dibahagikan kepada dua kumpulan
  2. 30 perlawanan bakal berlangsung dalam tempoh lima minggu untuk saingan peringkat kumpulan
  3. Empat pasukan teratas dalam setiap kumpulan akan layak ke pusingan kalah mati
  4. Format kalah mati akan digunakan sehingga ke perlawanan akhir
  5. Perlawanan akhir bakal berlangsung di Stadium MBSJ, Subang Jaya pada 22 Januari 2022

Menurut pengumuman yang lebih awal, ada beberapa acara yang dijalankan sebagai persediaan bagi Liga Super Wanita FAS musim ini, seperti taklimat undang-undang permainan pada 19 Oktober, klinik bolasepak wanita pada 24 dan 31 Oktober, dan pelancaran rasmi dan cabutan undi pada 20 November.

“Dengan menyatukan kelab dan lebih ramai pemain wanita di bawah sebuah pertandingan kompetitif dan sihat sepanjang musim, FAS WSL 2021 akan membuka lembaran baru dalam kancah bola sepak wanita amatur tempatan. FAS menyedari potensi wanita dalam sukan bola sepak di negeri ini dan berhasrat untuk membawa mereka ke tahap yang lebih tinggi”, jelas Izrin Nabil, Setiausaha Agung FAS.

“Antara sasaran jangka masa panjang kami bagi pertandingan ini adalah ia bukan sahaja memberi peluang kepada pemain wanita, tetapi ia juga bakal mewujudkan seluruh ekosistem bola sepak yang berteraskan wanita dari segi pemain, jurulatih, ahli fisioterapi, pegawai pasukan, bahkan sukarelawan untuk mencapai kecemerlangan”.

Malah bukan saja pemain-pemain, pasukan-pasukan bertanding juga diberi syarat mempunyai sekurang-kurangnya dua orang pegawai pasukan wanita, seperti yang dijelaskan Izrin kepada Utusan Malaysia.

Follow laman Facebook kami untuk mendapatkan perkembangan terbaru Selangor FC dan bolasepak Selangor

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.