Malaysia B-23 layak ke Piala Asia

Mukhairi, Harith, Zikri dan Azrin bantu Malaysia B-23 lolos ke Uzbekistan

Mungkin bunyinya sukar dipercayai; layak ke peringkat akhir setelah menjaringkan hanya dua gol dalam tiga perlawanan kelayakan. Tapi inilah yang telah berlaku apabila Malaysia B-23 layak ke peringkat akhir Piala Asia B-23 2022, sebagai juara Kumpulan J.

Kredit foto Persatuan Bolasepak Malaysia

Menentang seteru serantau Thailand dalam perlawanan kumpulan terakhir di Stadium MFF, Ulaanbaatar, Mongolia pada Ahad 31 Oktober, anak-anak buah Brad Maloney hanya memerlukan keputusan seri untuk layak secara automatik sebagai juara kumpulan. Ini disebabkan Harimau Muda telah menang kedua-dua perlawanan kumpulan, menentang Laos dan Mongolia, kedua-duanya dengan jaringan 1-0, manakala Thailand hanya menang sekali dan seri sekali.

Biarpun banyak diasak oleh lawan dan dilihat kurang tajam di hadapan gawang lawan, anak-anak muda Malaysia berjaya mengelak dari dibolosi Thailand, mencukupi untuk mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan dan merangkul gelaran juara kumpulan.

Di sebalik kutipan gol yang dilihat ‘cukup makan’ dengan kedua-dua gol dijaringkan oleh penyerang pasukan simpanan Terengganu FC Azfar Fikri Azhar, persembahan barisan pertahanan dan penjaga gol kesebelasan utama Malaysia mendapat perhatian. Sudah pasti ini turut membanggakan Selangor FC, apabila ketiga-tiga bek ini merupakan pemain pasukan simpanan Gergasi Merah; iaitu Zikri Khalili, Harith Haiqal dan Azrin Afiq. Penjaga gol pula adalah pemain Perak FC, Azri Ghani.

Trio Gergasi Muda ini, kesemuanya berusia 19 tahun, berada dalam kesebelasan utama Malaysia bagi ketiga-tiga perlawanan, dan tenang mengawal pintu gol dari dibocori. Kesemua mereka merupakan produk Akademi Mokhtar Dahari dan pernah beraksi dengan pasukan utama Selangor sekurang-kurangnya sekali.

Turut beraksi dalam kesemua perlawanan adalah seorang lagi bintang muda Selangor yang sudah berstatus ‘regular player’ pasukan utama, Mukhairi Ajmal. Diberi tanggungjawab sebagai ketua pasukan, dia bergabung baik dengan seorang lagi ‘midfielder’, Nik Akif untuk mengawal bahagian tengah padang sambil sekali sekala melakukan percubaan dari jarak jauh.

Perlu disebut juga sumbangan pemain ‘wing back’ kanan Quentin Cheng, yang musim ini dipinjamkan Selangor ke Penang FC. Pemain Malaysia-Australia ini turut bermain dalam kesemua perlawanan, tetapi hanya berada sekali dalam kesebelasan utama. Dia paling diingati dalam perlawanan pertama, menentang Laos, apabila tidak menanti lama untuk membantu pasukan memecah kebuntuan sebaik dibawa masuk; hantaran silang ‘trademark’ beliau disudahkan dengan baik oleh Azfar untuk gol tunggal perlawanan.

Namun tidak boleh dilupakan juga penglibatan empat lagi pemain muda Selangor yang turut menyertai skuad Malaysia B-23, walaupun mereka hanya banyak memanaskan bangku simpanan. Mereka adalah Sikh Izhan, Faiz Amer, Fahmi Daniel dan Saravanan Thirumurugan. Pastinya mereka akan mendapat lebih banyak peluang dalam peringkat akhir Piala Asia B-23 2022 yang dijadualkan berlangsung di Uzbekistan pada Jun tahun depan.

Selepas membantu Malaysia B-23 layak, anak-anak muda ini akan pulang ke Malaysia dan menjalani kuarantin, sebelum dibenarkan pulang ke kelab masing-masing. Sudah pasti ketua jurulatih Selangor, Karsten Neitzel ada peranan yang mahu pemain-pemain ini galas dalam baki saingan Piala Malaysia setelah mereka menampilkan persembahan utuh di peringkat antarabangsa.

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.