Melaka United lwn Selangor FC, Brendan Gan

Pertembungan terhangat Selangor dan Melaka United

Semenjak kembali ke kancah Liga Super bermula musim 2017, selepas 10 tahun beraksi dalam divisyen dua dan tiga, Melaka United tidak boleh disifatkan sebagai sebuah kelab terhebat liga. Tetapi ini tidak bermakna yang skuad Kancil tidak mampu mencabar Selangor FC.

Mari kita imbas semula lima pertembungan menarik di antara Selangor FC dan Melaka United.

5) Selangor 1-1 Melaka, Liga Super, 27 Januari 2017, Stadium Selayang

Perlawanan ini bukan sahaja menarik kerana ia merupakan pertembungan kompetitif pertama di antara kedua-dua pasukan dalam tempoh sembilan tahun. Ia juga menarik kerana penampilan Amri Yahyah, bekas ‘Budak Ajaib’ Selangor selepas dia meninggalkan JDT pada penghujung musim 2016.

Pendatang baru liga itu memberikan amaran awal mengenai kebolehan mereka untuk mengekang Selangor apabila berjaya mengikat tuan rumah, yang juga finalis Piala Malaysia tahun sebelumnya. Khairu Azrin Khazali membuka jaringan pada minit ke-69 melalui jaringan cantiknya, dan Selangor hanya mendapat gol penyamaan 10 minit sebelum tamat masa penuh melalui gol Victor Astafei.

Ironisnya, beberapa bulan selepas itu, Amri akan pulang semula ke pangkuan Gergasi Merah, dan dalam perlawanan di Melaka pada bulan September, Melaka kembali membuktikan bahaya mereka dengan menumpaskan Selangor 2-1.

4) Selangor 4-1 Melaka, Liga Super, 7 Februari 2018, Stadium Bolasepak Kuala Lumpur

Jika dilihat dari jaringan akhir gol semata-mata, perlawanan ini pasti kelihatan berat sebelah dan mudah untuk Gergasi Merah. Tetapi apa yang sebenarnya berlaku jauh sekali.

Bintang dari Sepanyol, Rufino Segovia, hanya memerlukan lapan minit untuk membuka jaringan bagi pasukan tuan rumah menerusi percubaan tepatnya. Tetapi Tiago Gomes menyamakan kedudukan pada detik setengah jam menerusi sepakan percuma yang mengelirukan Norazlan Razali. Segala-galanya kelihatan semakin sukar buat anak-anak buah Maniam Pachaiappan apabila Rufino gagal menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan beberapa minit sebelum waktu rehat, apabila Amri dijatuhkan.

Apabila separuh masa kedua bermula, ‘fullback’ kanan Syahmi Safari, yang baru saja menyambut hari jadi kedua puluh dua hari sebelum itu, membakar semangat pasukan dengan kerja kerasnya, yang seterusnya membawa mereka kembali mendahului perlawanan. Pada minit ke-54, dia menghambat dan menghalang ‘clearance’ yang cuba dilakukan penjaga gol Zamir Selamat. Bola jatuh betul-betul di antara Syahmi dan gol yang kini ternganga, dan dia tidak membuang masa menyumbat gol.

Rufino membalas kesilapannya pada minit ke-66, menyambar ‘clearance’ pertahanan Melaka United yang tidak baik dan melakukan tembakan ‘first-timer’ dari luar kotak penalti dalam satu pergerakan yang sama, untuk menjaringkan gol ketiga tuan rumah.

Syahmi sekali lagi menunjukkan kebolehannya, dengan menambah gol peribadi kedua dalam minit terakhir perlawanan, dari sepakan ‘on-the-run’ sudut sukar, untuk melengkapkan kemenangan bergaya.

3) Melaka 2-3 Selangor, Liga Super, 18 April 2021, Stadium Hang Jebat

Perlawanan terbaru di antara kedua-dua pasukan ini sekali lagi menyaksikan Syahmi memainkan watak penting, menentang sebuah pasukan yang sukar.

Dua kali pasukan tuan rumah mendahului Merah Kuning, dan dua kali penyerang prolifik Ifedayo Olusegun terpaksa menyelamatkan pasukan melalui gol-golnya, tetapi Syahmi yang bakal didendangkan sebagai wira. Pada minit ke-88, dia melakukan sepakan ‘first-timer’ kaki kiri dari dalam kotak penalti yang melencong masuk dan menewaskan penjaga gol Khairul Fahmi di tiang jauh.

2) Melaka 3-2 Selangor, Liga Super, 21 Julai 2018, Stadium Hang Jebat

Jika pertembungan pertama kedua-dua pasukan ini pada musim 2018 berakhir dengan kemanisan buat Selangor, pertembungan kedua mereka berakhir dengan kejam buat Gergasi Merah.

Jaringan D. Kugan pada minit ke-70, gol kedua Selangor pada malam itu dilihat sudah cukup untuk memberikan pasukan pelawat tiga mata penuh, tetapi mereka sebaliknya melepaskan dua gol apabila perlawanan berbaki enam minit, tidak termasuk masa tambahan.

Pada minit ke-84 Egor Zubovich menanduk masuk gol penyamaan Melaka United hasil ‘set-piece’ sepakan percuma, dan kemudiannya dengan gerakah akhir perlawanan, Nicholas Swirad melakukan tandukan cantik yang menewaskan penjaga gol Haziq Ridwan.

1) Melaka 4-3 Selangor, Liga Super, 6 April 2019, Stadium Hang Jebat

Perlawanan ini ada kesemuanya; gol cantik, ‘comeback’, ‘brace’ oleh TIGA pemain, dan malam cemerlang untuk seorang pemain yang jarang menyerlah. Ia bukti paling kukuh bagaimana pertembungan di antara kedua-dua pasukan ini tidak boleh dijangkakan pengakhirannya.

Dua kali Amri menjaringkan gol (gol minit kelapannya satu ‘half-volley’ menggiurkan dari luar kotak), dan dua kali pasukan Sang Kancil menyamakan kedudukan menerusi jaringan-jaringan Patrick Reichelt. Lebih memburukkan keadaan buat anak-anak buah B. Satiananthan, Darko Markovic meletakkan pasukan tuan rumah di depan melalui golnya di minit 71. Tetapi tidak seperti pertembungan sebelumnya, kali ini pasukan pelawat yang akan merenggut kemenangan dari mulut kekalahan, melalui seorang pemain yang tidak disangka-sangka!

Sean Selvaraj dibawa masuk pada minit ke-75, dan dua minit sebelum tamat 90 minit dia menyelamatkan sang Gergasi menerusi tandukan tajam hasil lintangan Amri. Dia kemudiannya melengkapkan peranan sebagai wira dalam masa tambahan, apabila menanduk masuk sepakan percuma Fandi Othman untuk membantu Selangor mengumpul tiga mata penuh.

Bagaimana dengan anda, para penyokong Selangor? Mana satukah pertembungan Selangor kegemaran anda? Dan apakah yang anda hajati pada Sabtu ini; satu lagi perlawanan ‘gila’ atau tiga mata yang membosankan buat Merah Kuning?

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.