Michael Feichtenbeiner dilantik ketua

Adakah perlantikan Feichtenbeiner peluang terakhir DNA Selangor?

Secara tak semena-mena pengumuman dibuat pada Sabtu, 19 November, bahawa pengarah sukan Selangor FC Michael Feichtenbeiner dilantik ketua jurulatih pasukan utama bagi musim 2022. Keputusan ini dibuat hanya beberapa hari setelah Gergasi Merah tersingkir dari Piala Malaysia di peringkat suku akhir di tangan Kuala Lumpur City.

Kredit foto Selangor FC

Walaupun tidak dinyatakan dalam pengumuman tersebut, dilaporkan yang ketua jurulatih musim ini, Karsten Neitzel yang masih ada baki kontrak telah diberi pilihan sama ada mahu kekal di kelab dalam peranan lain.

Ini bukan kali pertama Michael memegang peranan ketua jurulatih pasukan utama. Pelatih dari Jerman yang dilantik mulai musim 2020, pada mulanya sebagai pengarah teknikal, untuk merencana ‘DNA Selangor’ menggalas tugas jurulatih sementara pada penghujung musim 2020 setelah B. Satiananthan dipecat. Dan jangan dilupa, dia juga memegang peranan ketua jurulatih pasukan simpanan sejak dari perlantikannya.

Prestasi Karsten musim ini tidak boleh dikatakan baik apabila pasukannya sekadar menamatkan saingan Liga Super di tangga kelima, sebelum terkandas di suku akhir Piala Malaysia. Jadi memang sukar untuk kita mempertahankan kualiti kejurulatihan beliau.

Malah dari sedikit persembahan pasukan utama yang dapat kita lihat di bawah kendalian Michael musim lalu, di samping persembahan pasukan muda dalam divisyen dua, dia mempunyai visi jelas dengan pasukan bermain secara ‘high-pressing’ dan menggerakkan bola.

Namun begitu, perlu dinyatakan yang keputusan terbaru kelab ini dirasakan seolah-olah peluang terakhir buat Michael dan DNA yang diterapkannya. Di samping menjauhkannya dari tugas hakiki merencana dan memperkemas struktur teknikal kelab, perlantikannya sebagai ketua jurulatih dilihat seperti menyatakan kepada Michael: “Ini semua idea awak, jadi awak yang kena selesaikan masalah ini.”

Merah Kuning 24/7 menyatakan sentimen yang sama apabila menghubungi CEO kelab, Johan Kamal Hamidon, dan dia tertawa sebelum menjawab.

“Lebih kurang macam itulah sebenarnya. Kami sangka yang kami boleh lantik Michael untuk tumpukan kepada tugas umumnya sahaja sementara ketua jurulatih boleh memimpin pasukan utama. Tetapi hasilnya tidak ada kerana seorang jurulatih perlukan sifat-sifat kepimpinan, dan komunikasi jelas yang kami harus pertimbangkan apabila memulakan projek ini. Perancangan awal kami tidak berhasil.

“Michael telah lakukan tugas yang baik dengan Selangor 2 dan kini dia harus lakukannya dengan pasukan utama pula. Dia tahu falsafahnya sendiri dan tiada siapa yang lebih sesuai untuk menterjemahkannya, kami pasti dia boleh melaksanakan kedua-dua tugas (sebagai ketua jurulatih dan pengarah sukan),” jelasnya dalam perbualan telefon pada hari Sabtu.

Malah Johan juga menambah bahawa perlantikan Michael membolehkan dia menggunakan aset terbesar Gergasi Merah; pemain-pemain muda Selangor 2 yang dilatihnya.

“Michael telah melatih pemain-pemain muda kita sejak tahun lalu, seperti Aliff Haiqal, Sharul Nazeem dan Danial Asri (bekas pemain-pemain pasukan simpanan yang bermain dengan pasukan utama musim ini). 70 peratus pemain musim depan datangnya dari Selangor 2.”

Sudah pasti penyokong mengharapkan ada perubahan akan terhasil musim depan setelah Michael Feichtenbeiner dilantik ketua jurulatih pasukan utama secara tetap. Sudah tiga musim pasukan kesayangan kita beraksi dalam gear satu tanpa berjaya masuk ke gear kedua dan seterusnya di bawah pengurusan semasa, dan musim depan merupakan musim mereka harus berjaya di bawah perancangan Michael tanpa kedengaran lagi alasan-alasan biasa.

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.