Michael Feichtenbeiner kagum

Michael kagum dengan pemain import baru

Musim ini menyaksikan yang pasukan utama Selangor FC dipimpin oleh pengarah sukan, Michael Feichtenbeiner sebagai ketua jurulatih. Ditemuramah The Star baru-baru ini, diyatakan yang Michael Feichtenbeiner kagum dengan pemain-pemain asing yang baru dibawa masuk.

Kredit foto Selangor FC

Pengendali dari Jerman ini terlebih dahulu menyatakan yang peralihan jawatannya dari ketua jurulatih pasukan simpanan ke pasukan Liga Super [di samping peranan sebagai pengarah sukan] bukanlah sesuatu yang luar biasa.

“Langkah daripada pasukan ‘junior’ ke pasukan utama adalah penting, jadi saya kini melakukannya dengan Selangor. Kini, 50 peratus daripada anggota pasukan ‘feeder’ sudah menjadi sebahagian daripada pasukan utama. Ini adalah kemajuan yang kami mahukan,” jelasnya kepada wartawan T. Avineshwaran.

Di bawah kendalian beliau, Gergasi Merah telah membawa masuk tiga pemain import baru; pasangan pasukan kebangsaan Jordan ‘centre back’ Yazan Al-Arab dan pemain tengah Baha’ Abdel-Rahman, dan pemain serangan dari Brazil Herlison Caion.

Michael Feichtenbeiner kagum dengan mereka, sementara dilaporkan yang seorang lagi penyerang dari Brazil akan didatangkan bagi melengkapkan kuota pemain asing.

“Musim lalu, kami memberi tumpuan kepada tiga pemain berbahasa Jerman untuk melaksanakan ‘transition football’ di bawah kendalian Karsten [Neitzel], tetapi ia tidak menjadi. Kami memutuskan untuk menukar pemain-pemain import, dan saya kagum dengan dua pemain Jordan ini ketika mereka menentang Malaysia pada Oktober [2021].

“Yazan akan membantu barisan pertahanan kami manakala Baha’ adalah ketua yang sempurna di bahagian tengah untuk menyokong pemain-pemain senior seperti Brendan [Gan] dan Safuwan [Baharuddin].

“Berkenaan Caion pula, kami mencari penyerang yang dapat menggantikan penjaring gol berkesan seperti Ifedayo [Olusegun]. Bukan mudah untuk menggantikan pemain yang menjaringkan banyak gol, tetapi Caion mempunyai pengalaman. Saya mempunyai firasat kuat bahawa dia boleh menyesuaikan diri dengan gaya permainan kami,” jelas jurulatih berusia 61 tahun ini.

Sementara itu dalam perkembangan terbaru, Selangor telah beraksi dalam dua perlawanan persahabatan pra-musim. Mereka tewas 1-0 menentang pasukan Liga Premier, PDRM FC Jumaat lalu dan menang 6-1 ke atas pasukan divisyen tiga, Imigresen FC.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.