Michael Feichtenbeiner kagum

Feichtenbeiner mahu laksanakan perubahan-perubahan musim depan

Setelah musim 2021 tamat hambar buat Selangor FC, perubahan drastik telah dilaksanakan dalam barisan kejurulatihan Gergasi Merah. Pengarah sukan Michael Feichtenbeiner sekali lagi dilantik sebgai ketua jurulatih pasukan utama, kali ini secara kekal, manakala Karsten Neitzel diturunkan pangkat sebagai pembantunya. Michael Feichtenbeiner mahu laksanakan perubahan-perubahan dari beberapa aspek lagi, supaya pasukannya dapat tampil dalam musim 2022 dengan lebih baik.

Kredit foto Selangor FC

Dalam temubual yang dilakukan penulis bagi laman sesawang kelab, pengendali dari Jerman ini mengakui yang pasukannya tidak menamatkan musim 2021 dengan baik, yang menyebabkan beliau berasa bertanggungjawab untuk menyahut seruan menggalas tugas sebagai ketua jurulatih.

“Pasukan utama telah menamatkan saingan Liga Super di tempat kelima dan saya bersetuju yang ini tidak memenuhi sasaran kita. Apabila pasukan gagal memenuhi jangkaan, ia adalah tanggungjawab bersama; pengarah sukan, kakitangan kejurulatihan, pemain-pemain. Namun, adalah lumrah untuk ketua jurulatih memikul tanggungjawab ini.

“Tetapi saya juga ada tanggungjawab dalam isu ini, dan apabila lembaga pengarah meminta saya mengambil alih jawatan ketua jurulatih musim hadapan, saya menerimanya kerana projek ‘DNA Selangor’ itu telah dirangka oleh saya.

“Memang bagus pemain-pemain muda mendapat minit permainan, tetapi hakikatnya di kelab-kelab bola sepak seluruh dunia, bukan sahaja di Malaysia, kejayaan pasukan utama adalah paling penting. Musim hadapan kita tidak lagi boleh menamatkan saingan di tempat kelima dan gagal melepasi peringkat suku akhir,” jelasnya.

Satu lagi perubahan yang telah dilakukan dalam saf kejurulatihan adalah membawa masuk bekas pemain Selangor dan ketua jurulatih Felda United Nidzam Jamil sebagai seorang lagi pembantu jurulatih. Sejak dua tahun lalu, nama Nidzam telah kerap dicanang-canang penyokong sebagai calon ketua jurulatih Gergasi Merah di masa depan.

Menurut Feichtenbeiner, kedua-dua pembantunya akan memainkan peranan berbeza dalam sesi-sesi latihan musim depan.

“Bola sepak moden memerlukan latihan yang bersifat lebih individu dan ini juga sama dalam latihan teknikal dan taktikal. Dalam sesi latihan, saya mahu membahagikan pasukan kepada bahagian pertahanan dan serangan, dan Nidzam yang dahulunya merupakan pemain pertahanan, akan memberi lebih tumpuan kepada barisan pertahanan kami.

“Sementara itu Kalle (Karsten) yang dahulunya merupakan pemain tengah akan membawa perhatiannya kepada penyerang-penyerang kami khususnya, manakala masa saya akan mengendalikan aspek taktikal umum. Pembahagian dalam latihan ini adalah sesuatu yang saya pelajari semasa bertugas bersama Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) dahulu,” nyata pengendali berusia 61 tahun ini.

Tetapi apa yang paling penting, Michael Feichtenbeiner laksanakan perubahan supaya Gergasi Merah menampilkan gaya permainan yang lebih agresif di bawah kendaliannya.

“Anda tidak boleh memenangi trofi setiap minggu, ia mustahil sama sekali” jawabnya jujur. “Oleh itu, matlamat utama saya adalah untuk mempamerkan permainan yang menarik hati penyokong-penyokong. Jika mereka teruja melihat corak permainan yang baik, saya sebagai jurulatih sudah berjaya. Dan sebagai jurulatih, keutamaan saya adalah pada menjaringkan gol, bukannya bertahan dan menunggu untuk mengambil kesempatan daripada kesilapan lawan dan menang 1-0 saja. Saya mahu menyerang dari awal, kerana kami mempunyai reputasi yang perlu dikekalkan dan merupakan pasukan pilihan dalam hampir setiap perlawanan. Kami mesti berbangga menjadi Selangor FC, dan kami mesti menyerang dan menjaringkan sebanyak gol yang mungkin.

“Matlamat ini kemudiannya akan memperkuatkan pasukan, dengan peluang untuk memenangi setiap perlawanan yang kami lalui. Saya mahu pasukan kita tiba untuk setiap perlawanan dengan sasaran mahu menang. Saya mahu pergi selangkah demi selangkah, dan kita hanya boleh mula bersembang nak menang trofi apabila kami mula memenangi perlawanan dengan adanya pasukan yang kuat, kerana memburu kejuaraan adalah sasaran peringkat akhir.”

Artikel ini diolah semula dari penulisan pengarang sendiri, yang pertama kali diterbitkan di laman sesawang Selangor FC. Perakuan: Penulis juga telah diberi tanggungjawab oleh kelab untuk menulis beberapa artikel bagi pihak mereka bagi tempoh beberapa bulan akan datang.

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.