Selangor FC 2 vs JDT II, Liga Premier

Feichtenbeiner mahu anak buah lebih tajam selepas seri dengan JDT II

Ketua jurulatih Selangor FC 2, Michael Feichtenbeiner menyesali ketumpulan pemain-pemain muda Selangor FC 2, selepas hanya seri 1-1 dengan JDT II pada Jumaat, 20 Ogos. Pertembungan Liga Premier di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur itu menyaksikan pasukan tuan rumah tidak menang selepas empat perlawanan berturut-turut.

Wartawan masih belum dibenarkan berada di stadium menurut SOP Liga Malaysia semasa Covid-19, dan perlawanan ini tidak disiarkan secara langsung.

Dalam sidang media selepas perlawanan, Feichtenbeiner yang juga merupakan pengarah bolasepak Selangor FC mengatakan yang pasukannya hanya kekurangan dari aspek penyudah di hadapan gol.

“Perlawanan tadi merupakan satu pertembungan sengit di antara kedua-dua pasukan. Tiada langsung ruang diberikan kepada lawan dan pada saya, ia lebih baik dari perlawanan-perlawanan kebiasaan Liga Premier. Kami layak mendapat satu mata ini.

“Pasukan saya mencuba untuk mendapat gol kemenangan, tapi ia tidak berlaku. Pemain-pemain saya adalah budak-budak muda, mereka bekerja keras, mencipta peluang, terutamanya dalam separuh masa kedua. Mereka sepatutnya dapat gol kemenangan itu jika mereka lebih tenang, tajam dan membuat keputusan dengan lebih baik. Tapi ia pasti akan hadir di masa akan datang.

“Pemain-pemain barisan hadapan kami hanya berusia 17, 18 tahun, jadi mereka perlukan masa. Usaha keras mereka ada, yang tiada cuma golnya. Itu sahaja,” jelas pengendali dari Jerman ini.

Memang menarik jika dilihat dari sudut umur, seperti yang ditulis oleh akaun Twitter Youth Football Malaysia. Purata umur pemain Selangor 2 yang diturunkan pada malam itu adalah 19.9 tahun.

Walaupun potensi yang ditunjukkan anak-anak muda Gergasi Merah apabila menentang lawan yang lebih berpengalaman adalah memberangsangkan, apa yang perlu turut dipersoalkan adalah kemantapan pertahanan mereka. Sudah dua perlawanan berturut-turut mereka bolos gol penyamaan di saat-saat akhir separuh masa.

Dalam perlawanan liga sebelum ini, mereka mendahului peneraju liga Sarawak United pada hampir keseluruhan perlawanan, tetapi melepaskan gol penyamaan dalam 10 minit akhir perlawanan.

Selepas seri dengan JDT II, Selangor 2 kini berada di tangga kelima liga dengan baki tiga perlawanan.

Baca juga: Yan ke Ipoh, Ayimbila bersama Selangor FC 2

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.