Michael Feichtenbeiner serik

Michael serik dengan pemain import Eropah

Musim 2021 merupakan satu musim yang mengecewakan bagi Selangor FC, dengan tiada peningkatan yang ditunjukkan. Ia lantas membawa kepada pelantikan pengarah sukan Michael Feichtenbeiner sendiri sebagai ketua jurulatih pasukan utama bagi musim ini. Salah satu perubahan yang akan dilakukannya adalah dari segi rekrut baru, apabila dinyatakan yang seolah-olah Michael Feichtenbeiner serik dengan pemain-pemain import dari Eropah.

Kredit foto Selangor FC

Sudah tentu pengendali dari Jerman ini menyatakan tentang tiga orang pemain import dari Eropah yang dibawa masuk di awal musim lalu; pemain tengah Oliver Buff, Manuel Konrad dan pemain pertahanan Tim Heubach.

Mereka sebaliknya gagal menunjukkan prestasi baik dan dalam situasi Tim, cedera panjang. Mereka akhirnya dilepaskan selepas musim tamat dengan Tim memutuskan untuk bersara.

Michael memberitahu Transfermarkt edisi Jerman yang selepas ini, Gergasi Merah akan menumpukan kepada pencarian bakat-bakat asing yang bukan dari benua Eropah.

“Kelab ini mengharapkan lebih banyak dari mereka. Kami yakin bahawa mereka boleh membawa impak kepada pasukan berdasarkan pengalaman dan rekod mereka – malangnya ini tidak berlaku.

“Saya tidak mahu menolak apa-apa kerana mungkin sesuatu yang menarik akan muncul lagi di masa depan, tetapi fokus utama kami kini adalah bakat-bakat dari Asia atau Afrika,” jelas beliau.

Ini bukan kali pertama dinyatakan Michael Feichtenbeiner serik dengan trio ini. Dalam sebuah pertemuan di antara pengurusan kelab, barisan kejurulatihan dan penyokong bulan lalu, dia menyatakan yang ketiga-tiga pemain tadi merupakan salah satu punca persembahan mengecewakan Selangor dalam musim 2021.

Namun Michael berkeras yang di sebalik tersalah langkah dalam merekrut pemain, Selangor masih berada di landasan yang betul.

“Dari perspektif sukan, musim lalu memang mengecewakan, kami tidak boleh berdolak-dalik.

“Kami mahu menjadi batu loncatan untuk pasukan-pasukan kebangsaan Asia. Di sebalik musim yang mengecewakan, saya tidak mahu bercakap tentang kegagalan projek, kerana matlamat kami dulu dan sekarang adalah untuk meletakkan struktur dan asas yang mampan dari segi bakat muda yang boleh dimanfaatkan oleh kelab pada tahun-tahun akan datang,” kata pengendali berusia 61 tahun ini.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.