Minit terbanyak pemain Selangor

Siapa pemain Selangor dengan minit permainan terbanyak musim ini?

Saingan Liga Super musim 2021 baru berakhir bulan lalu sementara kempen Piala Malaysia baru bermula, iaitu tahun keseratus kejohanan ini. Sementara saingan tempatan berhenti seketika bagi memberikan laluan kepada pasukan Harimau Malaya, ada baiknya kita melihat minit terbanyak pemain Selangor dalam perlawanan-perlawanan kompetitif sepanjang tahun ini.

Kredit foto utama Malaysian Football League

Krisis kecederaan yang melanda pasukan pada tahun ini menyaksikan beberapa pemain yang tidak dijangka muncul sebagai watak penting Merah Kuning, sementara seorang pemain menunjukkan betapa pentingnya buat kelab untuk mengelakkan kecederaan kepada bintang-bintang mereka.

5) Syahmi Safari

Pemain pertahanan kanan ini menduduki tempat kelima minit permainan terbanyak, dengan 1536 minit secara keseluruhan, ataupun. Walaupun Wak hanya terlepas dua perlawanan sepanjang musim, satu akibat kecederaan dan satu akibat penggantungan, jumlah minit ini tidak setinggi yang sepatutnya dan ada beberapa sebab.

Ini kerana pemain berusia 23 tahun ini ada dimasukkan sebagai pemain gantian dalam tiga perlawanan, dan digantikan dalam 11 perlawanan. Paling baru, dia tercedera dalam separuh masa pertama menentang Terengganu FC minggu lalu dan terpaksa dikeluarkan, dan juga terlepas panggilan pasukan kebangsaan.

4) Oliver Buff

Pemain tengah ini muncul dalam 19 perlawanan liga buat Merah Kuning, kesemuanya dari kesebelasan utama. Walaupun ini agak tinggi, hakikat yang dia digantikan dalam sembilan perlawanan liga menyebabkan minit permainannya tidak begitu tinggi.

Sejak tempoh sebulan lalu, bekas pemenang Piala Dunia peringkat bawah umur ini pula melalui masalah kecederaan yang seterusnya mengehadkan kemunculan beliau. Dia terlepas perlawanan terakhir liga, dan walaupun dapat memulakan perlawanan pertama Piala Malaysia selepas itu, menentang Perak FC, dia hanya bertahan tak sampai setengah jam, dan diketepikan sewaktu menentang Terengganu.

Secara keseluruhannya, pemain dari Switzerland ini telah mengumpulkan 1595 minit musim ini.

3) Jordan Ayimbila

Salah seorang pemain yang tidak dijangka dalam senarai ini adalah pemain pertahanan kiri dari Ghana ini. Baru berusia 20 tahun, dalam musim pertamanya dengan pasukan utama dan di Liga Super, dan hanya membuat ‘debut’ dalam minggu ketiga liga. Ini tidak menghalang Jordan untuk mencatat nama sebagai pemain Selangor dengan minit permainan ketiga terbanyak musim ini, sebanyak 1607 minit.

Dia juga telah mengumpulkan 19 kemunculan, semuanya dalam kesebelasan utama, dan hanya digantikan sebanyak empat kali.

2) Khairulazhan Khalid

Tidak ramai yang akan terkejut dengan nama Yan dalam senarai ini. Tempatnya sebagai penjaga gawang utama Gergasi Merah memang telah dimuktamadkan sejak dua musim lalu tanpa dapat dicabar sesiapa.

Dengan 21 kemunculan liga dan dua dalam Piala Malaysia, tanpa dikeluarkan, penjaga gol Malaysia ini telah mencatatkan 2070 minit. Pemain berusia 31 tahun ini hanya terlepas satu perlawanan sepanjang musim ini, menentang Kedah DA di Alor Setar akibat kecederaan.

1) Ifedayo Olusegun

Apa agaknya yang dimakan bintang Selangor ini. Tiga hatrik musim ini, memecahkan rekod jumlah jaringan terbanyak individu dalam semusim Liga Super, dan memenangi kasut emas liga buat kali kedua berturut-turut, kesemuanya pencapaian yang dapat beliau kutip dengan dibantu satu fakta.

Ifedayo telah ada di atas padang dalam hampir setiap minit perlawanan Selangor musim ini.

Penyerang berusia 30 tahun ini berada dalam kesebelasan utama kesemua 24 perlawanan Selangor, dan hanya dikeluarkan sekali. Hanya dalam perlawanan menentang Melaka United pada 18 April dia digantikan, itu pun pada detik-detik akhir permainan. Kalau Ifedayo kerja di pejabat atau kilang seperti ramai dari kita, pasti dia sudah mendapat bonus dari majikan kerana jarang mengambil ‘MC’ atau cuti sakit.

Pastikan anda follow laman Facebook kami untuk sentiasa mengikuti perkembangan terbaru Selangor FC

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.