Mokhtar Dahari atasi Pele

Mokhtar Dahari atasi Pele, FIFA ingatkan semula

Menurut satu muatnaik terbaru akaun Facebook rasmi FIFA World Cup, mereka mengingatkan dunia bahawa legenda-legenda Asia mempunyai rekod antarabangsa yang lebih gah dari pemain termasyhur Brazil, Pele. Menurut muatnaik ini, mereka mengingatkan yang bintang Malaysia era 70’an dan 80’an Dato’ Mokhtar Dahari atasi Pele dari segi catatan gol perlawanan antarabangsa rasmi.

Kredit foto Facebook FIFA World Cup

Muatnaik itu menyenaraikan bintang-bintang Asia dengan jumlah gol antarabangsa rasmi yang lebih tinggi dari kutipan peribadi legenda Brazil yang kini berusia 81 tahun, dengan 77 gol. Mereka adalah bekas pemain Iran Ali Daei (109), Allahyarham Mokhtar (89), Sunil Chetri dari India (80), Ali Mabkhout dari UAE (78), dan Hussein Saeed dari Iraq (78). Dari senarai ini, hanya Ali dan Sunil yang masih aktif bermain.

Dan jika dilihat dari senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman seluruh dunia, Mokhtar berada di tempat ketiga, di belakang Ali dan bintang Portugal Cristiano Ronaldo yang telah menjaringkan 115 gol.

Sudah pasti ini merupakan rekod yang mengagumkan bagi Malaysia dan juga Selangor, satu-satunya pasukan negeri yang pernah diwakili Mokhtar sepanjang kerjayanya.

Rekod 89 gol antarabangsa rasmi ini dicatatkan Mokhtar dalam 138 perlawanan, yang membantunya memenangi empat kejuaraan Pestabola Merdeka, dua pingat emas Sukan SEA dan pingat gangsa Sukan Asia 1974. Sementara itu, dengan Selangor beliau telah memenangi 10 Piala Malaysia dan trofi liga 1984.

Selepas menggantung but berakhirnya musim 1987, hayat Mokhtar tamat secara tragis apabila disahkan menghidap penyakit neuron motor tidak lama selepas itu. Biarpun dibawa menjalani rawatan di London, UK, ia tidak berkesan dan dia menghembuskan nafas terakhir pada 11 Julai 1991.

Sejak dari dulu lagi, bintang-bintang Selangor diketahui kerap membanggakan negara menerusi kejayaan-kejayaan di atas padang dan pengiktirafan-pengiktirafan antarabangsa. Selain Mokhtar Dahari atasi Pele, pada pertengahan tahun ini, empat orang bekas pemain Selangor dimasukkan dalam senarai rasmi FIFA pemain dengan 100 atau lebih penampilan peringkat antarabangsa, atau FIFA Century Club.

Mereka adalah Datuk Soh Chin Ann, Zainal Abidin Hassan, Datuk M. Chandran dan Datuk Santokh Singh. Mereka menyertai legenda Pulau Pinang Datuk Abdul Shukor Salleh, dan dua lagi bekas pemain Selangor yang telah berada dalam senarai itu; iaitu Datuk R. Arumugam dan Mokhtar.

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.