Muka baru Selangor sertai

Kesetiaan penyokong jadi senjata Feichtenbeiner mulakan latihan pra-musim

Selesai cuti Hari Krismas hujung minggu lalu menyaksikan bermulanya latihan pra-musim 2022 bagi Gergasi Merah. Walaupun bukan kesemua anggota skuad pasukan utama ada pada Isnin, 27 Disember, beberapa muka baru Selangor sertai hari pertama, termasuk pemain-pemain pasukan simpanan.

Kredit foto Selangor FC

Namun dari video yang dimuatnaik kelab, dapat dilihat yang sebelum pemain-pemain menjejakkan kaki ke padang latihan di Pusat Latihan FAS, mereka diberikan suntikan motivasi oleh ketua jurulatih pasukan utama Michael Feichtenbeiner.

Di ruang rehat kompleks latihan, Michael menayangkan rakaman nyanyian penyokong-penyokong setia Selangor dan Ultrasel kepada pemain dan pasukan utama setelah berakhirnya perlawanan terakhir mereka bagi musim 2021, satu musim yang mengecewakan menurut pendapat pengendali dari Jerman itu sendiri.

Dalam sebuah temubual dengan penulis hujung bulan lalu bagi laman sesawang kelab, setelah Michael dilantik sebagai ketua jurulatih di samping tugas sedia ada sebagai pengarah sukan, Michael menyatakan detik ini merupakan detik yang paling mengharukan baginya sejak berkhidmat buat Gergasi Merah. Sudah pasti dia menayangkan semula rakaman ini kepada anak-anak buahnya dengan niat berkongsi sentimen ini dengan mereka.

Hari Isnin juga merupakan hari pertama di atas padang secara rasmi bagi beberapa muka baru dalam staf kejurulatihan, seperti Michael sendiri dan pembantu jurulatih baru, Nidzam Jamil.

Muka-muka baru Selangor sertai hari pertama latihan adalah pemain-pemain baru ditandatangani, iaitu penjaga gol Sam Somerville, pemain pertahanan Fazly Mazlan dan pemain tengah Zahril Zabri. Dapat juga dilihat pemain-pemain pasukan simpanan yang baru dibawa naik secara rasmi iaitu Azrin Afiq dan Harith Haiqal.

Agak mengagumkan juga untuk dilihat yang bintang Myanmar, Hein Htet Aung juga turut serta dalam hari pertama walaupun baru selesai khidmat dengan pasukan kebangsaannya dalam Piala AFF tidak sampai dua minggu lalu. Dia turut ditemani beberapa lagi ahli pasukan simpanan, Aqil Fadhly Yusop dan Adib Haikal.

Pemain-pemain sedia ada pasukan utama juga ada menyertai hari pertama, seperti Nor Hakim Hassan, Danial Asri, Sharul Nazeem dan Ashmawi Yakin. Pemain tengah, Halim Saari yang cedera ACL sepanjang musim lalu dilihat masih menjalani sesi pemulihan.

Penampilan ‘orang-orang lama’ ini bagaimanapun masih menampilkan beberapa perubahan kecil, iaitu dari segi pertukaran nombor jersi. Walaupun ia tidak membawa maksud pertukaran secara kekal kerana mereka masih menyarungkan jersi latihan musim lalu dan nombor pemain pasukan simpanan yang berlainan, ada pertukaran-pertukaran ini menarik perhatian.

Antaranya Hein Htet menyarung nombor 20 yang ditinggalkan Syahmi Safari, Danial menggunakan nombor 17, manakala Hakim bertukar ke 9 dari 19.

Antara pemain-pemain yang belum ada dalam hari pertama merupakan pemain-pemain asing baru Yazan Al-Arab, Baha’ Abdelrahman dan Caison, dan juga pemain-pemain yang baru selesai aksi dalam Piala AFF bersama pasukan kebangsaan masing-masing seperti Safuwan Baharudin, Khairulazhan Khalid, Shahrel Fikri, Mukhairi Ajmal dan Quentin Cheng.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.