Mukhairi Ajmal perjelas nombor

Ajmal mahu contohi Ronaldo selepas pertukaran nombor

Pemain-pemain Harimau Malaya yang menyertai kempen Piala AFF 2020 hujung tahun lalu sudah pun kembali berlatih dengan Selangor FC, dalam persiapan pra-musim 2022. Salah seorang dari mereka merupakan bintang muda yang sedang meningkat naik. Sejajar dengan niat untuk mempamerkan lebih peningkatan, Mukhairi Ajmal perjelas nombor baru yang dipilihnya.

Kredit foto Malaysian Football League

Dalam sebuah temubual pendek yang dilakukan dengan jabatan media kelab, Ajmal menyatakan yang walaupun sebagai pemain kebangsaan dia tidak mendapat cuti penghujung musim sepanjang yang dilalui rakan-rakan sepasukan kelab yang lain, ia bukan satu masalah.

Musim ini dia mahu mempamerkan peningkatan lebih baik lagi, setelah melalui tahun 2021 yang cemerlang dari segi individu.

“Alhamdulillah saya rasa cukup [cuti]. Sebagai seorang pemain, cuti selama dua minggu sudah cukup untuk luangkan masa dengan keluarga, dan sekarang saya bagi tumpuan kepada saingan Liga Super Malaysia.

“Kami perlu lebih bermotivasi, mengikuti taktik jurulatih dan fokus, dan saya harap [ketua] jurulatih baru dapat berikan yang terbaik untuk pasukan.

“Saya gembira kerana dapat berjumpa dengan rakan-rakan sepasukan yang baru datang, dan saya harap kami dapat berikan komitmen yang baik kepada Selangor tahun ini,” jelasnya.

Pada tahun lalu, pemain tengah ini melakukan 23 penampilan untuk Gergasi Merah, dan berjaya memimpin Malaysia B-23 sebagai kapten pasukan untuk layak ke saingan akhir Piala Asia B-23. Lebih membanggakan, dia mula mendapat tempat dalam pasukan senior Malaysia dan mengutip lima penampilan pertama.

Namun pemain berusia 20 tahun ini baru saja bermula, dan mahu membawa impak yang lebih besar musim ini. Ini akan dicapai Ajmal dengan cara mencontohi seorang idolanya, dan salah satu caranya adalah menggayakan nombor skuad yang sama.

Baru-baru ini dia bertukar nombor, dari 29 ke nombor tujuh, yang dahulunya digunakan Sean Selvaraj yang telah pulang ke kelab kampung halaman Negeri Sembilan. Mukhairi Ajmal perjelas keputusan mengambil nombor sensasi ini.

“Sebenarnya dari dulu lagi saya dah minat dengan nombor tujuh kerana saya mengidolakan [Cristiano] Ronaldo dan sifat kerja keras beliau. Saya ambil ini sebagai contoh dalam saya mengembangkan lagi bakat.”

Sudah pasti penyokong Gergasi Merah mengharapkan Ajmal semakin berjaya musim ini dan dapat memimpin pasukan ke laluan kecemerlangan, sebagai batu asas mencapai status legenda Selangor.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.