LTK berpesan pada Mukhairi

Mukhairi dapat pujian Karsten setelah tampil peningkatan berterusan

Pemain tengah Selangor FC Mukhairi Ajmal Mahadi kini merupakan salah seorang pemain yang menjadi rebutan di antara kelab dan pasukan Malaysia B-23. Namun dapat difahami mengapa ini terjadi, dan ia turut menyebabkan Mukhairi dapat pujian Karsten Neitzel, ketua jurulatih Gergasi Merah.

Kredit foto Selangor FC

Sepanjang musim ini, pemain kelahiran Pahang ini telah melakukan 22 penampilan dan menjaringkan satu gol kompetitif bersama pasukan utama Selangor. Ini seterusnya membawa kepada panggilan Harimau Malaya pertama, dan dua penampilan pertamanya di peringkat antrabangsa senior, dalam perlawanan-perlawanan persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan pada minggu lalu.

Walaupun pasukan kebangsaan tidak bermain baik, kelibat pemain berusia 19 tahun ini yang masuk sebagai pemain gantian ketika kedua-dua perlawanan berbaki setengah jam menarik minat penyokong, yang kemudiannya menyeru supaya dia turut dibawa ke Piala AFF yang bakal dijalankan di Singapura Disember nanti.

Persembahannya sepanjang musim bersama kelab dan pasukan Malaysia tidak mengejutkan Karsten, yang sudah melihat peningkatan pemain remaja ini yang sentiasa diberi peluang bermain.

“Ajmal dan juga banyak pemain muda lain di kelab ini telah menunjukan peningkatan sepanjang musim ini kerana mereka bermain dalam banyak perlawanan. Dia bermain dengan baik dalam beberapa permainan, sama ada sebagai kesebelasan utama ataupun sebagai pemain gantian.

“Ajmal mampu menukar rentak permainan, dan yang paling saya ingat adalah semasa perlawanan menentang Melaka United. Kini pemain-pemain muda ini harus berusaha dari banyak segi, bermain dengan lebih konsisten namun perlu tetap merendah diri. Ini adalah sasaran bagi mereka di masa akan datang.

“Saya sangat gembira melihat dia bermain untuk Malaysia, setiap pemain ingin bermain untuk negara mereka. Sekiranya dia terus bekerja keras, saya tidak melihat sebarang kesukaran untuk beliau disenaraikan dalam skuad Malaysia ke Piala AFF,” jelas pengendali dari Jerman ini.

Setelah Mukhairi dapat pujian Karsten, sudah tentu penyokong Merah Kuning mengharapkan yang khidmatnya dapat dipastikan dalam baki kempen Piala Malaysia nanti, apatah lagi apabila pasukan sedang dihimpit krisis kecederaan.

Perakuan: Artikel ini diolah semula dari penulisan pengarang sendiri, yang pertama kali diterbitkan di laman sesawang Selangor FC. Penulis juga telah diberi tanggungjawab oleh kelab untuk menulis beberapa artikel bagi pihak mereka bagi tempoh beberapa bulan akan datang.

Follow laman Facebook kami untuk mendapatkan perkembangan terbaru Selangor FC dan bolasepak negeri Selangor

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.