Mukhairi Ajmal perjelas nombor

Mukhairi dapat pujian Cheng Hoe, berkemungkinan jadi rebutan

Walaupun keputusan yang dikutip Harimau Malaya dalam kedua-dua perlawanan persahabatan baru-baru ini tidak memberangsangkan, kelibat pemain-pemain baru dalam ‘skuad eksperimen’ ini menarik minat penyokong. Salah seorang dari mereka adalah bintang muda Selangor FC sendiri, Mukhairi Ajmal Mahadi. Baru-baru ini Mukhairi mendapat pujian Cheng Hoe, jurulatih pasukan Malaysia.

Kredit foto Malaysian Football League

Biarpun hanya dimasukkan dalam setengah jam terakhir kedua-dua perlawanan ini, iaitu kekalahan 4-0 kepada Jordan pada 6 Oktober dan 5-1 kepada Uzbekistan tiga hari kemudiannya, aksi-aksi pemain serangan ini memikat perhatian ramai penyokong dan media Malaysia, terutamanya dari segi kombinasi beliau dengan seorang lagi bintang muda Malaysia, Luqman Hakim Shamsudin.

Kini, nama pemain berusia 19 tahun ini telah disebut-sebut sebagai salah seorang pemain yang harus diletakkan Tan Cheng Hoe dalam senarai skuad Malaysia ke Piala AFF 2020, pada Disember nanti.

Mungkin ini tidak mustahil, dilihat dari apa yang dikatakan Cheng Hoe sendiri mengenai pemain yang berasal dari Pahang ini. Menerusi sebuah temubual pendek dengan akaun Twitter Shoot, bekas jurulatih Kedah itu memuji potensi yang ditunjukkan Mukhairi.

“Memang kita telah melihat Mukhairi Ajmal menujukkan potensi yang besar dalam Liga Malaysia dan skuad [Malaysia] B-19. Cara permainan beliau dari segi teknik dan kelajuan, memang diperlukan dalam bolasepak moden sekarang.

“Harapnya dia boleh perbaiki dari segi transisi dalam permainan dan keyakinan.”

Walaupun timbul pula ura-ura yang dia sedang diintai kelab-kelab luar negara setelah Mukhairi mendapat pujian Cheng Hoe, perebutan yang dilihat akan berlaku melibatkan khidmatnya mungkin terlebih dahulu akan tercetus dalam negara.

Menurut laporan New Straits Times hari ini, ketua jurulatih Malaysia B-23 Brad Maloney mahukan Mukhairi menyertai kempen pasukannya dalam peringkat kelayakan Piala Asia B-23 yang akan berlangsung dari 25 hingga 31 Oktober nanti. Namun biarpun kempen Piala Malaysia yang kini berehat seketika akan hanya bersambung semula pada 31 Oktober, Mukhairi pasti bakal perlu menjalani kuarantin 14 hari selepas pulang semula ke Malaysia. Tatkala Selangor sedang dilanda krisis kecederaan, pastinya mereka memerlukan khidmat semua pemain yang cergas, apatah lagi peringkat kelayakan itu tidak dijalankan dalam jendela FIFA.

Belum diketahui apa respon kelab terhadap kehendak yang disuarakan Brad ini.

Follow laman Facebook kami untuk mendapatkan perkembangan terbaru Selangor FC

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.