Penjualan Syahmi dan Rodney

Musim 2021 Bonai tamat akibat kecederaan bahu

Musim 2021 pemain pertahanan tengah Selangor FC, Rodney Celvin Akwensivie yang dipinjamkan ke Kedah Darul Aman FC (KDA) nampaknya terpaksa ditamatkan awal.

Rodney Celvin, atau lebih dikenali sebagai Bonai, yang menyertai pasukan Kenari di awal musim ini ditimpa kecederaan bahu yang teruk dalam perlawanan Liga Super KDA menentang Terengganu FC, Sabtu, 21 Ogos di Kuala Terengganu.

Pada minit ke-27, Rodney bertembung dengan penyerang skuad Penyu David da Silva di luar kotak penalti KDA, jatuh bahu kiri dahulu ke atas padang lalu menyebabkan dia memerlukan rawatan doktor pasukan. Walaupun pemain dari Sarawak ini kemudiannya dapat berjalan keluar padang, dia terpaksa digantikan serta-merta oleh ketua jurulatih KDA, Aidil Sharin Sahak dengan Loqman Hakim.

Perlawanan itu kemudiannya dimenangi pasukan pelawat 2-1, yang memastikan mereka semakin merapati Terengganu di tangga kedua, dan tidak jauh dengan Gergasi Merah di tangga ketiga. Pasukan utara semenanjung Malaysia ini kini berada di tangga keempat, dan kekurangan beberapa perlawanan disebabkan kuarantin Covid-19. Saksikan highlight perlawanan di sini.

Di akaun Instagram Rodney, dia memaparkan salinan x-ray yang menunjukkan tulang bahunya yang kelihatan patah pada esok harinya.

Pada masa yang sama, KDA mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan bahawa bekas pemain Malaysia B-23 ini tidak akan beraksi lagi pada musim ini.

Pemain dari Serian, Sarawak ini menyertai Selangor dari PKNS FC apabila PKNS diserap pada penghujung musim 2019. Sepanjang persaingan Liga Super 2020 dia telah membuat lapan penampilan bersama Gergasi Merah. Manakala pada musim ini, Rodney telah membuat 14 penampilan liga, kesemuanya dalam kesebelasan utama. Lebih menarik lagi, dalam kesemua penampilannya untuk Kedah (kecuali menentang Terengganu pada Sabtu dan perlawanan menentang Terengganu di laman sendiri dalam bulan April), Rodney bermain 90 minit penuh.

Kami di Merah Kuning 24/7 mengucapkan selamat sembuh kepada Rodney, supaya dia dapat segera kembali ke Selangor dan bersaing merebut tempat dalam skuad Gergasi Merah pada musim depan.

Baca juga – Kalle persoal anak buah: Kenapa tak jaringkan banyak gol lagi?

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.