Musim 2022 Selangor MAC mahukan sokongan

Selangor MAC harap musim 2022 hadir dengan sokongan lebih kukuh

Setelah melalui dua tahun yang suram, pasukan futsal yang mewakili Selangor FC, Selangor MAC mengharapkan ada sinar di penghujung jalan. Bagi tahun depan, musim 2022, Selangor MAC mengharapkan sukan ini mendapat lebih banyak sokongan dari semua pihak.

Kredit foto utama Selangor MAC

Pendapat ini disuarakan oleh pemilik dan pengurus pasukan, Puan Mimi Afzan Afza apabila dihubungi Merah Kuning 24/7.

Musim pertama Liga Premier Futsal Malaysia (LPFM) pada tahun 2019, dimulakan dengan baik oleh Selangor MAC yang menamatkan saingan sebagai johan. Namun musim seterusnya hanya sempat dimainkan sepusingan, sebelum ia ditangguhkan akibat penularan wabak Covid-19 di Malaysia, sebelum dibatalkan terus.

Di sebalik keyakinan awal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), penganjur LPFM bahawa saingan dapat dijalankan dalam tahun 2021, setelah lama tanpa sebarang perkembangan, pengumuman pembatalan saingan 2021 akhirnya dilakukan pada 9 September lalu.

Secara kebetulan, pada tarikh itu Selangor MAC sedang melakukan persiapan terakhir secara gelembung bagi menyertai Piala Futsal AFF di Korat, Thailand. Dalam saingan itu yang turut disertai Pahang Rangers, dua kelab Thailand dan satu kelab Kemboja, anak-anak buah Mimi berjaya mendapat tempat ketiga dengan dua kemenangan dan dua kekalahan.

Apabila dihubungi kami pada Rabu, 5 Oktober, Mimi menyifatkan yang ini merupakan keputusan yang memuaskan dalam situasi persiapan minima. Hampir sepanjang tahun mereka tidak dapat berlatih secara berpasukan disebabkan larangan-larangan kerajaan bagi menyekat penyebaran Covid-19. Hanya apabila mereka mendapat jemputan Piala AFF Futsal, barulah kebenaran latihan dalam gelembung diterima.

“Kami berhadapan dua pasukan Thailand (Freefire Bluewave Chonburi dan Port FC), yang kita tahu lebih baik dari kita. Pada masa yang sama dengan pertandingan, pemain-pemain terbaik mereka menyertai Piala Dunia Futsal di Lithuania. Namun pemain-pemain asing kelab ini masih ada bermain dengan kelab-kelab ini. Pemain-pemain mereka juga berstatus profesional.

“Sementara itu, pemain-pemain kami kali terakhir berlatih [bersama] pada bulan Mei. Kebenaran berlatih dalam gelembung yang diterima dari Majlis Sukan Negeri hanya bermula dari 30 Ogos, dan kami berlepas ke Thailand pada 10 September. Persiapan kami terlalu singkat.

“Namun Selangor MAC pamerkan semangat dan mentaliti berlawan yang positif, kecekalan. Dan ini yang telah membawakan kelebihan buat kami,” jelasnya yang menganggap peluang beraksi di Thailand itu membawa kelebihan kepada Selangor MAC dari segi mendapat aksi kompetitif.

Ditanyakan mengenai persiapan bagi musim 2022 Selangor MAC, Mimi menyatakan yang pasukannya akan memulakan persediaan bagi musim yang akan berjalan dari awal tahun depan.

Sektor sukan dan rekreasi telah mendapat kebenaran kerajaan Malaysia untuk kembali beroperasi mulai penghujung bulan lalu, yang dijangkakan bakal membuka jalan bagi LPFM untuk kembali.

“Bagi persiapan Piala AFF Futsal tempoh hari, kami berlatih secara gelembung dan selepas kejohanan pula kami kuarantin selama 14 hari, jadi sekarang kami bercuti sehingga 17 Oktober. Dalam tempoh kuarantin yang turut melibatkan barisan jurulatih, mereka sempat merangka bentuk latihan yang akan dijalankan selepas kembali dari cuti.

“Kami telah dimaklumkan yang MPFL [2022] akan dijalankan pada awal tahun, cuma belum mengetahui tarikh yang khusus,” jawabnya yang memahami bahawa FAM berhadapan kekangan dalam menjalankan MPFL dalam dua tahun kebelakangan ini.

Kami bertanyakan kepada Mimi; apa harapan beliau bagi sukan ini pada tahun hadapan, setelah sunyi selama dua tahun? Dia membalas dengan hasrat melihat futsal menerima lebih banyak sokongan dari semua pihak.

“Harapan saya adalah jika ia tak setanding dengan bolasepak pun di Malaysia, sekurang-kurangnya ia tak jauh di belakang,” ujar Mimi. “Futsal lebih dilihat sebagai sukan sosial, tapi kalau dipupuk dengan betul dan diberi ruang, ia boleh pergi jauh. Kita ramai pemain yang ‘talented’; walaupun ketinggalan di belakang Indonesia dan Vietnam dari segi modal dan latihan contohnya, kita masih mampu bersaing di peringkat Asia Tenggara. Jika diberi lebih sokongan dari pelbagai aspek, saya yakin futsal negara mampu bersaing dan mengharumkan nama negara.

“Kalau sukan futsal Malaysia mendapat 30 peratus apa yang diberikan oleh persatuan-persatuan bolasepak di Malaysia kepada bolasepak, dari segi dana, kursus pengadil dan kejurulatihan, ia pasti akan mengangkat standard futsal dan siapa tahu, Malaysia juga dapat beraksi dalam Piala Dunia futsal tak lama lagi.

“Minatnya sudah ada sebab orang sanggup membayar untuk bermain [secara suka-suka], jadi ia cuma perlu digilap dan diberi platform yang betul.”

Dan sudah pasti sokongan kewangan dari penaja turut ditagih.

“Diharapkan sukan futsal dapat menarik lebih banyak penaja kerana di samping penyokong tegar, sokongan kewangan juga penting utk keterusan semua pasukan.”

Dia memberi contoh sokongan yang ditunjukkan anak-anak muda yang gigih menyokong Selangor MAC, sebuah kelompok penyokong futsal Selangor yang menggelarkan diri mereka sebagai Brigata 1936.

“Saya harap ramai pihak dapat menyokong futsal dan Selangor MAC seperti menyokong bolasepak. Penyokong-penyokong kami memang cemerlang dan terbilang. Ke mana-mana kami pergi mereka akan bersama kami; satu perlawanan musim 2020 yang berlangsung tanpa penyokong, mereka masih hadir menyokong dan memberikan semangat dari luar stadium.

“Penyokong-penyokong seperti mereka yang menghidupkan futsal dan menjadikan ia lebih berdaya saing,” tambah Mimi, mengakhiri perbualan.

Follow laman Facebook kami untuk kekal mengikuti perkembangan terbaru Selangor FC

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.