Nafuzi Zain sarung jersi

Nafuzi sarung jersi Selangor, kemudian dipilih dalam ABK

Satu kejadian yang agak melucukan telah timbul di media sosial pada Sabtu, 4 Disember. Muncul gambar ketua jurulatih Terengganu FC Nafuzi Zain sarung jersi Gergasi Merah, sedang masa depannya di Kuala Terengganu menjadi tanda tanya.

Kredit foto Terengganu FC

Foto itu menunjukkan Nafuzi bergambar dengan enam orang lelaki yang tidak dikenali, yang dipercayai peminat bolasepak, di sebuah lokasi yang kelihatan seperti sebuah restoran. Yang menghairankan, dia dilihat menggayakan jersi ‘home’ Selangor FC 2021 yang dilihat begitu kena dengannya.

Agak menghairankan apabila seorang ketua jurulatih kelab profesional mengenakan jersi pasukan lain, apatah lagi pasukan itu merupakan lawan dalam saingan liga yang sama.

Dan pada hari yang sama, pada malamnya, pelatih berusia 43 tahun ini diumumkan sebagai ketua jurulatih pilihan penyokong bagi anugerah Fan XI, dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2021. Dia dipilih berdasarkan prestasi baik beliau membawa Sang Penyu menamatkan saingan Liga Super Malaysia 2021 di tangga keempat, dan ke separuh akhir Piala Malaysia.

Namun begitu, telah timbul ura-ura yang lembaga pengarah Terengganu tetap tidak berpuas hati dengan kerja-kerja pelatih yang berasal dari Kelantan ini, dan pertelagahan dalaman menyebabkan kontraknya belum lagi disambung. Malah dikatakan pula yang dia akan digantikan dengan jurulatih asing, satu perkembangan yang mengecewakan peminat Sang Penyu setelah dapat melihat pembaharuan di bawah taktik ‘Nafuziball’.

Apa yang pasti, foto ini menyebabkan penyokong-penyokong Selangor tertanya-tanya, dan teruja, sama ada Nafuzi akan menyertai barisan kejurulatihan Gergasi Merah. Sebabnya adalah mudah; sepanjang musim 2021 saja, kesemua empat pertembungan di antara kedua-dua pasukan ini dimenangi oleh Terengganu.

Namun ada baiknya kita berpijak di bumi yang nyata. Gergasi Merah sudah pun melakukan pelantikan-pelantikan barisan kejurulatihan bagi musim depan yang turut menyaksikan penyertaan seorang lagi bekas ketua jurulatih berstatus muda Nidzam Jamil sebagai pembantu ketua jurulatih pasukan utama Michael Feichtenbeiner, di samping ramai pembantu-pembantu jurulatih sedia ada.

Dan jangan lupa, kemunculan foto-foto sebegini juga kadang kala ada digunakan dalam bolasepak moden sebagai taktik perbincangan kontrak baru atau mengiklankan diri, tambahan pula ejen yang mewakili Nafuzi diketahui gemar menggunakan taktik-taktik licik untuk memasarkan pemain-pemain dan jurulatih di bawah seliaannya.

Satu-satunya perkara yang boleh kita simpulkan dari kemunculan gambar Nafuzi Zain sarung jersi Selangor ini adalah hakikat bahawa jersi-jersi Gergasi Merah begitu menggiurkan, sehinggakan pemain dan jurulatih lawan juga tak berupaya mengekang nafsu mereka dari menggayakannya di khalayak ramai sampai sanggup menanggung risiko dimarahi penyokong pasukan yang diwakili ketika itu. Mungkin musim depan ABK harus menyertakan kategori jersi paling bergaya.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.