Nasib berbeza bintang Selangor

Nasib berbeza bintang Selangor dalam hari kedua Piala AFF

Hari perlawanan kedua Piala AFF 2020 membawa nasib berbeza bintang Selangor FC. Pemain-pemain Gergasi Merah terlibat dalam tiga dari kesemua empat perlawanan peringkat kumpulan yang berlangsung pada Rabu dan Khamis baru-baru ini, dalam Kumpulan A dan B.

Dalam aksi pertama Kumpulan A pada Rabu, 8 Disember, Myanmar bangkit dari kekalahan perlawanan sebelumnya kepada pasukan tuan rumah Singapura dengan menundukkan Timor-Leste 2-0. Than Paing membuka jaringan pada minit ke-14, manakala Maung Maung Lwin menambah gol kedua lima minit selepas separuh masa kedua. Yang menariknya, bintang muda Selangor Hein Htet Aung terlibat dalam kedua-dua gol Singa Asia dalam perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Nasional Singapura ini, biarpun ini hanyalah aksi rasmi keduanya di peringkat antarabangsa senior.

Hantaran silang dari kanan pemain berusia 20 tahun ini membawa kepada kesilapan pertahanan lawan yang membolehkan Maung Maung menanduk masuk gol pertama, manakala hantaran pendeknya dari dalam kotak penalti menjadi bantuan gol yang disudahkan Than. Namun begitu, Maung Maung yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan dan bukannya Hein Htet.

Perlawanan kedua Kumpulan A pada hari itu, yang turut dilangsungkan di gelanggang yang sama, menyaksikan Singapura mencatat kemenangan 2-1 ke atas Filipina. Pemain pertahanan dan pemangku ketua pasukan Selangor musim ini, Safuwan Baharudin tampil melakukan ‘assist’ membantu gol pembukaan yang dijaringkan Hariss Harun pada minit ke-61, sebelum Faris Ramli melebarkan jurang hanya dua minit seterusnya. Jaringan Amin Nazari pada minit ke-69 yang kembali merapatkan kedudukan mengerah kemampuan Safuwan untuk memimpin barisan pertahanan Sang Singa, tetapi dia melaksanakan tugas ini dengan cemerlang untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan dan juga anugerah pemain terbaik perlawanan.

Biarpun pemain-pemain asing Selangor tampil cemerlang dalam hari perlawanan kedua, dilihat nasib berbeza bintang Selangor yang bersama Harimau Malaya dalam Kumpulan B.

Selepas penjaga gol Khairulazhan Khalid diuji positif Covid-19 bersama bintang Terengganu FC Faisal Halim pada awal minggu dan terpaksa diasingkan dari skuad, pada Khamis, 9 Disember dua orang lagi pemain telah diumumkan positif. Mereka adalah pemain terbaik perlawanan dalam kemenangan 3-1 ke atas Kemboja Isnin lalu, Akhyar Rashid, dan juga pertahanan kanan Gergasi Merah Quentin Cheng, yang kini turut terpaksa diasingkan bagi menantikan ujian negatif supaya dapat kembali menyertai pasukan.

Namun begitu, ketiadaan mereka tidak menghalang anak-anak buah Tan Cheng Hoe merakam kemenangan 4-0 ke atas Laos, hasil hatrik Safawi Rasid dan jaringan Shahrul Saad. Dua orang pemain Selangor beraksi dalam kemenangan ini, Mukhairi Ajmal yang mendapat aksi keseluruhan permainan, dan juga penyerang Shahrel Fikri yang masuk pada minit ke-66.

Walaupun Ajmal menampilkan persembahan yang baik, Shahrel yang baru pulih dari kecederaan panhang terlepas sejumlah peluang-peluang keemasan untuk mengutip gol peribadi dalam perlawanan ini.

Biarpun Cheng Hoe masih berupaya menghadirkan kemenangan dalam kedua-dua perlawanan kumpulan pertama Malaysia tanpa beberapa pemain yang berada dalam pengasingan, mereka selepas ini akan berhadapan dengan dua pasukan lebih mencabar, iaitu Vietnam dan Indonesia. Sudah tentu dia mahukan semua pemainnya bersedia untuk dipanggil beraksi.

Satu lagi aksi Kumpulan B, di antara Indonesia dan Kemboja, tidak melibatkan mana-mana pemain Selangor semasa. Namun kemenangan 4-2 buat Garuda itu menampilkan satu nama yang masih dikenali iaitu Evan Dimas. Pemain tengah Selangor dalam musim 2018 ini sempat mencetak gol kedua pasukannya dalam perlawanan ini, pada minit ke-17.

Hari perlawanan ketiga akan berlangsung pada Sabtu, 11 Disember bagi Kumpulan A dan esoknya buat Kumpulan B, dengan Malaysia akan menentang pasukan pilihan Vietnam.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.