Naturalisasi Hein Htet Aung

CEO kelab beri respon terhadap cadangan naturalisasi Hein Htet

Pemain tengah Hein Htet Aung kian menarik minat ramai peminat musim ini, manakala tidak dapat dinafikan, Merah Kuning 24/7 sebelum ini telah menyuarakan pendapat supaya proses naturalisasi Hein Htet mula dijalankan Selangor FC.

Kredit foto Malaysian Football League

Baru berusia 20 tahun, bintang muda Myanmar ini berjaya mempamerkan ketenangan dan kemahiran tinggi untuk merekodkan enam bantuan gol dan satu gol dalam Liga Super, di sambing persefahaman yang amat baik dengan mesin pencetak gol Gergasi Merah, Ifedayo Olusegun.

Sudah pasti bekas pemain Hanthawaddy United ini turut berada dalam radar penyokong-penyokong Malaysia sebagai sasaran naturalisasi untuk Harimau Malaya, apatah lagi bila dia dilihat tidak menyokong junta pentadbiran Myanmar ketika ini, yang turut menyebabkan beliau pernah menerima hukuman penggantungan perlawanan.

Namun begitu, cita-cita kita ini nampaknya hanya tinggal angan-angan, menurut penjelasan ketua pegawai eksekutif (CEO) kelab, Johan Kamal Hamidon kepada kami.

“Tempoh empat, lima tahun (syarat naturalisasi) adalah tempoh yang lama, dan menerusi potensi yang ditunjukkannya dia berupaya menjadi pemain yang hebat untuk Selangor, dan jika ada peluang, untuk negara (Malaysia) juga.

“Namun pada masa ini agak mustahil untuk dia dinaturalisasikan kerana dia memang dikehendaki pasukan kebangsaan Myanmar. Sudah beberapa kali mereka memanggilnya dalam ‘call-up’, tapi kami tak lepaskan kerana ia di luar jendela FIFA. Dia nampaknya akan menjadi pemain kebangsaan [Myanmar], malah mereka sudah menulis kepada kami untuk memanggilnya bagi Piala AFF akan datang.

“Bakat sebaik ini sudah pasti ada tempat dalam pasukan kebangsaan Malaysia, tapi dia sayangkan negaranya dan jika dipanggil Myanmar, dia akan menjawab panggilan itu,” jelas Johan dalam satu panggilan telefon pada Rabu, 13 Oktober.

Nampaknya itu saja jawapannya dalam cadangan naturalisasi Hein Htet, dan memang ia mengecewakan untuk kita dengari. Namun begitu kita harus hormati keputusan bintang muda ini dan semangat patriotik beliau, dan ucapkan selamat berjaya sebagai bintang Singa Asia. Sudah pasti kita juga mahu melihat aksinya dalam Piala AFF Disember nanti, sebelum kembali bagi musim keduanya bersama Gergasi Merah.

Follow laman Facebook kami untuk mendapatkan perkembangan terbaru Selangor FC

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.