Hein Htet Aung, Selangor FC

M2M: Mulakan saja proses naturalisasi Htet Aung

Jangan salah anggap, nukilan ini tak ada kaitan dengan duo gadis genit dari Norway awal dekad 2000 yang menyanyikan lagu-lagu pop cinta dalam Bahasa Inggeris mudah. Subjek sebenar penulisan ini turut bertubuh kecil, tapi penulis tak tahu pula kalau dia memiliki bakat sebagai penyanyi pop di negara asalnya. Apa yang mahu dicadangkan hari ini hanyalah supaya Selangor FC memulakan proses naturalisasi Htet Aung, pemain tengah menyerang yang sedang meningkat naik.

Hein Htet Aung yang baru berusia 19 tahun ini didatangkan dari Hanthawaddy United, Myanmar dengan reputasi sebagai penyumbang ‘assist’ terbanyak di antara liga-liga di Asia Tenggara musim 2020. Dia tidak memerlukan masa yang terlalu lama untuk beradaptasi; hanya selepas beberapa perlawanan Liga Premier dengan Selangor 2, Htet Aung pantas dibawa naik ke pasukan utama dalam perlawanan menentang Sabah FC pada bulan April. Sehingga kini dia telah melakukan 11 penampilan, sembilan darinya sebagai kesebelasan utama, menjaringkan dua gol dan melakukan sekurang-kurangnya lima bantuan gol.

Hangat diperkatakan mutakhir ini adalah persefahaman yang ditunjukkannya dengan penyerang Ifedayo Olusegun, yang baru-baru ini telah membantu Dayo memecahkan rekod penjaring terbanyak semusim Liga Super dan mendahului carta penjaring terbanyak liga 2021. Banyak gol-gol ini datang hasil ‘jolokan’ bekas pelatih Akademi Bolasepak Myanmar ini. Tahap persefahaman yang ditunjukkan mereka ini, di sesetengah negara lain pasti sudah disuruh bernikah.

Namun bukan sekadar penyumbang, Htet Aung juga memiliki kelebihan-kelebihan individu. Dia tenang apabila memegang bola, ada kemahiran untuk melepasi kawalan lawan dan tidak gopoh di hadapan pintu gol. Kalau tak percaya, tonton semula gol yang dijaringkannya semasa menentang Melaka United bulan lalu. Ingin kami ulangi, beliau baru berusia 19 tahun.

Tidaklah keterlaluan untuk dikata yang ‘kenaikan’ Htet Aung ini adalah salah satu penyumbang kepada peningkatan prestasi Merah Kuning dalam liga. Daripada persembahan bersifat yo-yo, anak-anak buah Karsten Neitzel kini telah merekodkan enam perlawanan berturut-turut tanpa kalah, dengan lima darinya berakhir dengan kemenangan. Ifedayo yang pada awal musim dilihat kerap canggung dan terasing dari barisan ‘midfield’, kini memiliki penghubung yang sangat efisien. Dari segi ini timbul persoalan mengenai pemain-pemain Selangor yang lebih senior, iaitu mengapa mereka sebelum ini gagal membantu barisan serangan secara amnya, dan juga Ifedayo.

Beliau juga menunjukkan caranya kepada pemain-pemain muda Merah Kuning yang lain; walaupun kurang pengalaman, mereka tidak boleh hanya mengutip minit permainan apabila diturunkan dengan pasukan utama. Mereka harus turut memberi impak kepada pasukan.

Dan jika dilihat dari perkembangan semasa dan segi peribadi, Htet Aung nampak tidak bersetuju dengan junta tentera yang merampas kuasa di negara asalnya awal tahun ini, sehinggakan dia meraikan satu golnya dalam Liga Premier secara protes. Bukan dia seorang sahaja; baru-baru ini penjaga gol kebangsaan Myanmar Pyae Lyan Aung bertindak memohon suaka dari Jepun setelah perlawanan Jepun-Myanmar dalam peringkat kelayakan Piala Dunia. Tidak ramai pemain dan atlet Myanmar yang mahu mewakili negara mereka kini, dan kemungkinan besar Htet Aung adalah salah seorang dari mereka (nak pulang melawat keluarga di kampung halaman pun mungkin sudah tidak selamat buatnya).

Kerugian buat Myanmar haruslah diambil peluang oleh Malaysia, ‘M to M’ dalam situasi ini. Htet Aung harus diyakinkan bahawa masa depan kerjayanya ada bersama negara ini, di kelab pembangunan terbaik Malaysia. Selangor harus memujuknya untuk memulakan proses naturalisasi dari sekarang, supaya bila umurnya mencecah 24 tahun, dia sudah dapat menyarung jersi Harimau Malaya. Jika atas sebab-sebab tertentu nanti dia tidak mendapat ‘call-up’ dan peluang membantu negara pun, setidak-tidaknya Gergasi Merah boleh mengosongkan slot pemain ASEAN ini untuk seorang pemain lain, mungkin seorang lagi ‘maestro’ muda.

Pengurusan kelab harus memulakan kerja-kerja naturalisasi Htet Aung secepat mungkin sebelum pemain remaja ini bertukar fikiran. Jika Htet Aung bertukar fikiran, penyokong-penyokong di Malaysia sudah tidak lagi boleh menyanyikan lagu ‘Everything You Do’, sebaliknya hanya menyanyikan ‘The Day You Went Away’ bagi merawat duka.

Dan jangan lupa langkah-langkah ‘basic’; beri kontrak jangka panjang, letak klausa perlepasan tinggi, dan sorok telefon selepas jam 12 tengah malam.

Baca juga: Pemain Selangor 2 tamatkan kontrak enam bulan awal

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.