Nidzam latih bahagian pertahanan

Nidzam latih bahagian pertahanan, fokus personaliti pemain

Salah satu perubahan yang dilakukan dalam barisan kejurulatihan Selangor FC bagi musim 2022 adalah pelantikan bekas pemain Gergasi Merah, Nidzam Jamil sebagai penolong jurulatih pasukan utama. Jelas beliau dalam sebuah temubual yang dilakukan penulis untuk laman sesawang rasmi kelab, Nidzam latih bahagian pertahanan dan juga fokus terhadap personaliti-personaliti pemain.

Bekas ketua jurulatih Felda United ini akan bersama-sama seorang lagi penolong jurulatih, Karsten Neitzel, iaitu bekas ketua jurulatih pasukan utama 2021, untuk membantu ketua jurulatih 2022 Michael Feichtenbeiner yang juga merupakan pengarah sukan kelab.

Apabila ditanyakan mengapa dia mengambil keputusan menerima jawatan ini, apatah lagi dua tahun lalu dia pernah menyatakan yang dia belum bersedia mengambil alih kelab segah Selangor, ini jawapannya:

“Ia adalah pilihan yang mudah. Apabila Selangor memanggil anda untuk menjadi sebahagian daripada staf kejurulatihan, saya rasa tidak wajar untuk saya menolaknya. Saya mungkin tidak akan mendapat peluang yang sama lagi. Tambahan pula, saya rasa ini masa yang sesuai untuk saya kembali ke tempat saya belajar tentang bola sepak selama bertahun-tahun yang lalu.

“Saya suka cabaran yang datang dengan pelantikan ini. Pemain datang dan pergi, padang latihan kini berbeza, gelanggang sendiri juga telah berubah, tetapi matlamat untuk memberi persembahan terbaik untuk penyokong tetap sama. Penyokong Selangor FC sangat mengambil berat tentang pasukan ini dan anda tidak akan nampak tahap obsesi ini di kebanyakan kelab lain,” jawab beliau.

Namun bekas pemain Malaysia ini berkeras yang walaupun penyokong selalu menyebut-nyebut namanya untuk kembali ke Selangor sebelum ini, kini perhatian dan komitmen mutlak harus diberikan kepada ketua jurulatih pasukan, Michael Feichtenbeiner.

Menurut Nidzam, dia kini di Selangor untuk membantu kelab dari segi latihan dengan tugas-tugas yang khusus.

Dia menjelaskan yang tugasnya sebagai penolong jurulatih akan membawa Nidzam latih bahagian pertahanan dan juga fokus terhadap karakter pemain-pemain.

“Saya di sini untuk membantu Michael dan Karsten mengukuhkan pelaksanaan falsafah dan gaya permainan kelab. Tetapi antara aspek yang akan saya tumpukan ialah permainan berpasukan dan barisan pertahanan. Usaha mengurangkan bolos adalah salah satu perkara yang akan diteliti oleh kami.

“Anda perlu bertahan dengan baik untuk mempunyai pasukan yang kuat, dan ini bermakna ia perlu dilakukan bersama-sama sebagai satu pasukan, dan bukan hanya tugas barisan pertahanan. Saya juga akan turut memberi tumpuan kepada pemain-pemain muda dan membantu personaliti mereka,” ujar bekas pemain pertahanan ini.

Pelatih berusia 41 tahun ini kemudiannya menyeru semua pihak termasuklah penyokong untuk bersatu di belakang visi dan perancangan Michael pada musim depan.

“Tugas yang kami ada sekarang bukanlah projek yang mudah, untuk kami semua dan juga penyokong. Kami faham bahawa beban tanggungjawab itu terpikul di bahu kami di Selangor FC, tetapi kami mahu menuju ke destinasi bersama-sama penyokong, pada hari buruk dan juga hari gembira.

“Jika kita semua sehaluan, jurulatih, pemain dan penyokong, saya percaya kita mampu pergi lebih jauh. Saya nampak hala tuju kita tetapi kita mesti terus menyokong satu sama lain. Penyokong mesti menyokong kelab, dan Selangor tidak boleh mengecewakan penyokong,” jelasnya.

Artikel ini diolah semula dari penulisan pengarang sendiri, yang pertama kali diterbitkan di laman sesawang Selangor FC. Perakuan: Penulis juga telah diberi tanggungjawab oleh kelab untuk menulis beberapa artikel bagi pihak mereka bagi tempoh beberapa minggu akan datang.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.