Nor Hakim pulih dan jaringkan gol

Hakim temui sinar setelah lalui permulaan sukar

Biarpun pemain penyerang, Ifedayo Olusegun mendominasi perhatian dalam pertembungan Sabah FC-Selangor FC minggu lalu apabila memecahkan rekod penjaring terbanyak semusim Liga Super, sebenarnya ada dua lagi pemain Merah Kuning yang mencatat rekod peribadi dalam perlawanan yang berkesudahan 6-0 itu. Salah seorang dari mereka, Nor Hakim pulih dari kecederaan baru-baru ini, dan mencetak gol pertamanya untuk Selangor.

Dimasukkan bagi mengggantikan Mukhairi Ajmal pada permulaan separuh masa kedua sedang pasukan pelawat mendahului 3-0 di Stadium Likas, Nor Hakim Hassan tidak memerlukan masa yang lama untuk membawa impak. Hanya berselang seminit, pemain serangan ini menerima hantaran Oliver Buff dan membuat lambungan dari kiri. Percubaan ini mengelirukan penjaga gol Sabah dan menjunam masuk gol di tiang jauh bagi gol keempat Selangor malam itu.

(Mukhairi turut menjaringkan gol pertamanya buat Selangor pada malam itu, di penghujung separuh masa pertama. Malang buatnya, dia tercedera dalam proses melakukan jaringan itu, dan terpaksa digantikan dengan Hakim.)

Baca juga: Ratings – Ifedayo pimpin Gergasi tumbangkan Badak

Pasti ini merupakan batu penanda yang dicari-cari bagi seorang pemain yang terlebih dahulu terpaksa bekerja keras untuk kembali beraksi.

Didatangkan dari Perak pada awal musim 2020, peluang Hakim untuk menunjukkan kebolehan sebaliknya tersekat panjang akibat kecederaan ACL pada pra-musim. Pemain yang kini berusia 29 tahun terpaksa menjalani proses rehabilitasi selama setahun, dan selepas Nor Hakim pulih dia hanya kembali beraksi pada bulan Mac tahun ini, dalam perlawanan menentang Terengganu FC.

Aksinya dilihat meyakinkan, kerap membahayakan barisan pertahanan lawan dengan larian-larian pantas dan hantaran yang mengelirukan, dan menentang Sabah tempoh hari dia menunjukkan peningkatan berganda. Di samping gol tadi, beliau turut melakukan ‘assist’ di penghujung perlawanan yang membolehkan Ifedayo merekodkan hatrik.

Dalam temubual dengan laman sesawang kelab, Hakim memilih untuk berterima kasih atas bantuan rakan-rakan sepasukan yang membolehkannya menjaringkan gol sulungnya itu.

“Saya berasa sangat bersyukur apabila dapat menjaringkan gol pertama untuk musim ini semasa menentang Sabah dan berbangga dengan rakan sepasukan yang sentiasa memberi semangat kepada saya terus bangkit dan berikan yang terbaik dalam setiap perlawanan.

“Tidak dinafikan saya sangat gembira kerana dapat membuka akaun gol untuk kelab ini, tapi secara jujurnya saya sendiri hampir tidak percaya saya dapat menghasilkan gol sedemikian. Ini semua atas usaha yang saya lakukan selama ini dan juga bantuan rakan sepasukan, Alhamdulillah,” jelas pemain yang berasal dari Terengganu ini.

Sudah pasti penyokong Merah Kuning gembira dengan peningkatan yang ditunjukkan Hakim menjelang Piala Malaysia nanti. Kebolehannya membantu dan menjaringkan gol pasti akan membuatkan Gergasi Merah semakin berbahaya, di samping peningkatan yang ditunjukkan pemain-pemain muda seperti Mukhairi, Danial Asri dan Hein Htet Aung.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.