Selangor-Perak, Oliver Buff

Ketiadaan Oliver Buff membuktikan peranannya buat Selangor

Malang buat anak-anak buah Karsten Neitzel, apabila mereka tidak menemui pengakhiran baik dalam Liga Super musim 2021 pada hujung minggu lalu. Biarpun telah melalui enam perlawanan berturut-turut tanpa kalah dengan lima kemenangan, Selangor FC longlai dalam pertemuan menentang Petaling Jaya City (PJ City) dan tumpas 2-1. Bagi perlawanan ini, Mukhairi Ajmal dan Oliver Buff cedera dalam perlawanan minggu sebelumnya tidak diturunkan.

Sayang sekali yang kejayaan membelasah Sabah FC 6-0 sebelum itu terpaksa dibayar dengan harga yang mahal. Kedua-dua pemain ini terpaksa dikeluarkan di hampir penghujung perlawanan yang berlangsung di Kota Kinabalu, dan terlepas perlawanan akhir liga.

Dalam kes Oli, ketiadaan bekas pemenang Piala Dunia B-17 ini amat-amat dirasai dan permainan Gergasi Merah terkesan sekali.

Jika dilihat dari perlawanan di Stadium Likas, Oliver bertindak seperti sauh yang menambat barisan tengah Gergasi Merah. Ketiadaan Manuel Konrad pada malam itu menyebabkan Oli mengambil peranan sebagai pemain tengah bertahan, dengan Sarkunan Krishnansamy dan Aliff Haiqal Lau menjalankan tugas di sekitar Oli.

Semasa menentang Sabah, Sarkunan berjaya memainkan peranan memotong dan memintas hantaran-hantaran pasukan Sabah di tengah padang, sementara Aliff pula memulakan serangan dengan larian-larian mencari ruang atau hantaran-hantaran ke bahagian serangan. Semua ini dapat mereka lakukan secara baik dengan adanya jaminan keselamatan yang Oliver berikan.

Namun apabila pemain yang berasal dari Switzerland itu tiada semasa menentang pasukan ‘teman serumah’ mereka pada minggu seterusnya, kedua-dua pemain ini dilihat gagal berfungsi dengan baik. Sarkunan yang menggalas peranan sebagai ‘CDM’ tunggal pada malam itu tidak dapat menyekat pasukan lawan dari mengawal bahagian tengah padang, manakala Aliff dilihat kehabisan idea; terlalu kerap menghantar bola ke belakang apabila disekat barisan pertahanan PJ City. Akibatnya, barisan serangan Merah Kuning terpisah dan malap pada malam itu.

(Perlu dinyatakan di sini juga bahawa pertukaran formasi dari 4-3-3 semasa menentang Sabah kepada 5-2-3 semasa berhadapan dengan PJ City, dan hakikat yang kedua-dua pasukan ini berada dalam ‘form’ yang berbeza, turut memberi kesan.)

Jelas sekali yang peranan Oliver secara tidak langsung dalam pasukan adalah penting, biar pun ada dikritik peminat-peminat kerana melambatkan transisi dari bertahan kepada menyerang dan lambat naik ke atas membantu serangan dalam situasi ‘counter-attack’. Ini adalah kritikan yang adil, kerana pemain berusia 29 tahun ini adakalanya dilihat bermain terlalu santai.

Apa yang secara tidak langsung turut merisaukan adalah ia menidakkan sentimen bahawa pemain-pemain muda pasukan telah bersedia untuk menggalas tanggungjawab yang lebih besar, terutamanya pada musim depan. Jelas sekali yang setidak-tidaknya di barisan ‘midfield’, mereka masih menagih khidmat pemain berpengalaman bertaraf bintang untuk mengawal bahagian itu.

Tapi Karsten masih ada Piala Malaysia 2021 yang akan bermula minggu hadapan, dan dia pasti berharap Oli akan segera pulih untuk kembali membantu pasukan. Penyokong-penyokong pula, yang kini sudah ‘insaf’ setelah melihat impak ketiadaannya, pasti tidak mahukan perlawanan-perlawanan akan datang menyebabkan Oliver Buff cedera sekali lagi.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.