Pakar psikologi Selangor FC Bryan Win

Pakar psikologi kelab Bryan Win: “Kutip bola pun saya buat bila perlu!”

Tahap serius kelab kesayangan kita dalam merancang kejayaan dapat dilihat dari kelengkapan-kelengkapan yang disediakan dan juga pakar-pakar yang dibawa masuk. Selain mempersiapkan fizikal pemain-pemain, aspek mental juga turut dititikberatkan melalui kepakaran psikologi sukan. Atas sebab ini, pakar psikologi Selangor FC Bryan Win telah dilantik menggalas tugas ini dari bulan Januari tahun 2021.

Kredit foto Selangor FC

Penulis diberi kesempatan oleh kelab untuk bertanyakan soalan-soalan kepada Bryan, yang meraih ijazah sarjana muda dan sarjana beliau dari UK, dan berpengalaman latihan amali di Institut Sukan Negara (ISN).

Merah Kuning 24/7: Psikologi sukan adalah bidang yang unik, mengapa anda memilih bekerjaya dalam bidang ini?

Bryan: Semasa menghabiskan ijazah sarjana muda saya dalam bidang psikologi, saya ada berkira-kira menceburi bidang psikologi klinikal. Tapi saya diterima melakukan ‘internship’ di ISN, dan pengalaman saya di situ membantu saya buat keputusan untuk memilih bidang psikologi sukan.

Pengalaman saya bermain bolasepak di peringkat sekolah juga meyakinkan saya dalam membuat keputusan ini. Saya pada masa itu mahu bermain secara lebih kompetitif, tapi kerap dilanda kecederaan. Kecederaan ini bukannya isu besar, tapi apa yang sukar adalah semasa pulih. Dari segi fizikal saya ok, tapi minda saya yang kerap terganggu. Jadi kini saya ingin membantu atlet-atlet berikan persembahan yang lebih baik menggunakan pengetahuan psikologi, kerana dahulunya saya tak ada sokongan yang saya perlukan.

MK247: Saya difahamkan yang anda banyak memberikan perhatian terhadap pasukan simpanan, Selangor 2. Apa tugas seharian anda bersama kelab?

B: Saya akan berada sekitar pasukan semasa mereka berlatih, dan saya juga sedia untuk bertemu dengan mana-mana pemain sebelum dan selepas sesi latihan. Saya juga akan berikan maklumat kepada jurulatih, tapi ini tidak bermakna saya kaki mengadu! Saya akan beritahu kepada jurulatih jika saya rasa dia perlu tahu dan ada sesuatu yang perlu diubahnya dalam sesi latihan seterusnya, demi kebaikan pemain.

Saya turut memantau sesi latihan dan memberikan maklum balas kepada jurulatih. Barisan teknikal memantau aspek taktikal dan strategi, manakala saya mengkaji kelakuan dan tindak balas setiap pemain terhadap situasi-situasi tertentu.

Secara mudahnya, saya bekerjasama dengan pemain-pemain untuk membolehkan mereka bermain baik, tapi saya juga memastikan yang keadaan mental mereka sebagai manusia biasa kekal terjaga. Bagi saya, orang yang baik dapat dijadikan pemain yang baik, bukan sebaliknya.

MK247: Adakah anda diberikan kerjasama oleh pemain dan staf kejurulatihan dalam menjalankan tugas anda?

B: Semasa bermula, saya perlu memperkenalkan apa itu psikologi kepada pemain-pemain, dan memperbetulkan tanggapan-tanggapan salah seperti yang ia hanya diperlukan oleh mereka-mereka yang ‘koyak’ [mental]. Saya jelaskan kepada mereka yang ilmu psikologi sukan ini bukan hanya untuk memperbaiki masalah-masalah yang timbul, tapi ia juga penting untuk lebih memperbaikki diri, terutamanya bagi pemain-pemain muda yang mahu menembusi pasukan utama seperti mereka.

Adanya saya di kelab ini bukannya kerana pemain-pemain ini ‘bermasalah’, mereka bukannya gila. Saya amat gembira yang jurulatih berkongsi pandangan yang sama dengan saya, iaitu pengetahuan psikologi diserapkan dalam pasukan dan bukan hanya diperlukan apabila ada sesiapa yang bermasalah. Mereka sentiasa nampak saya di pusat latihan, malah saya juga tolong kutip bola bila perlu!

MK247: Apa lagi tanggapan salah yang mungkin peminat ada mengenai tugas anda sebagai pakar psikologi Selangor FC?

B: Kami tak sama seperti pakar psikologi klinikal atau kaunseling, yang bercakap dengan pelanggan dalam sesi-sesi formal dalam bilik tertutup. Saya selalunya berbincang dengan pemain di luar bilik persalinan semasa mereka sedang bersiap sedia. Kalau mereka nak bercakap lebih lanjut mengenai apa-apa isu, kami akan duduk di tepi padang selepas itu, selepas perlawanan contohnya.

‘Sesi’ kami tidak terlalu lama dan formal, hanya antara 10 ke 15 minit. Topik perbincangan adalah apa-apa isu yang timbul yang melibatkan pemain-pemain ini.

MK247: Sebagai mengakhiri ‘sesi’ kita ini, adakah anda apa-apa pesanan kepada penyokong bagi membantu menjaga kesihatan mental bintang-bintang Selangor?

B: Dunia kini kadang-kadang semakin kasar terutamanya semasa tempoh pandemik, jadi ada baiknya kita menyebarkan semangat positif dan bukannya sikap toksik. Semua orang akan lalui masa yang sukar, atlet-atlet pun sama, jadi tak perlulah mereka ini dicerca atau dipanggil ‘bodoh’.

Ada bezanya di antara memberikan pandangan kritikal dan bersikap jelik seperti mengganggu ahli keluarga pemain di media sosial. Memberi pandangan tak ada masalah buat saya, tapi yang satu lagi itu tidak sepatutnya dilakukan.

Hidup Selangor!

Perakuan: Artikel ini diolah semula dari penulisan pengarang sendiri, yang pertama kali diterbitkan di laman sesawang Selangor FC. Penulis juga telah diberi tanggungjawab oleh kelab untuk menulis beberapa artikel bagi pihak mereka bagi tempoh beberapa bulan akan datang.

Follow laman Facebook kami untuk mendapatkan perkembangan terbaru Selangor FC dan bolasepak negeri Selangor

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.