Mukhairi Ajmal perjelas nombor

Mukhairi sentiasa bersedia dalam seruan Harimau Malaya pertama

Call-up‘ pasukan kebangsaan Malaysia kali ini turut menyaksikan panggilan Malaysia pertama Mukhairi Ajmal Mahadi, pemain muda Selangor FC yang dinamakan bersama-sama penjaga gol Khairulazhan Khalid.

Kredit foto utama Malaysian Football League

Peluang ‘dinaikkan pangkat’ secara tetap ke pasukan utama Selangor musim ini telah digunakan sebaik-baiknya oleh pemain serangan yang berasal dari Pahang ini. 22 penampilan dan satu gol kompetitif sepanjang musim menyaksikan bekas pemain pasukan muda Malaysia ini kini mendapat kepercayaan untuk mewakili pasukan senior pula.

Bagi dua perlawanan persahabatan Harimau Malaya akan datang, ketua jurulatih Malaysia Tan Cheng Hoe telah menyenaraikan Ajmal sebagai salah seorang dari 22 pemain dalam skuadnya.

Dalam satu temubual dengan Berita Harian, pemain yang akan mencapai usia 20 tahun awal bulan November ini menyatakan kepentingan buatnya untuk bersaing dengan pemain-pemain yang lebih berpengalaman bagi mendapatkan tempat dalam pasukan, sebagai pendatang baru skuad ini.

“Ramai pemain yang bagus dan mungkin ini adalah peluang terbaik untuk saya kerana dapat kepercayaan jurulatih menyertai skuad kebangsaan. Saya akan cuba sesuaikan diri dengan cepat bersama pasukan.

“Saya juga mungkin boleh ambil pengalaman dari pemain lebih senior dan belajar sesuatu untuk menjadi lebih baik,” katanya semasa ditemui sebelum berlepas dengan pasukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu.

Bekas pemain PKNP FC ini turut menyatakan kesediaannya untuk menggalas tanggungjawab sekiranya diturunkan dalam perlawanan-perlawanan akan datang, biarpun ini merupakan panggilan Malaysia pertama Mukhairi.

“Kita tak boleh rasa terlalu yakin dan kita perlu rasa macam bola sepak normal. Bola itu bulat, kalau ada rezeki, kita boleh dapat keputusan yang baik.

“Semua pemain yang terpilih adalah terbaik dan saya harap kami boleh menajdi satu pasukan yang kuat apabila menentang Jordan dan Uzbekistan,” katanya.

Malaysia dijadualkan bertemu Jordan pada Rabu ini, 6 Oktober dan Uzbekistan, tiga hari kemudian dengan kedua-dua perlawanan bakal dimainkan di Jordan. Setelah pulang, Ajmal dan pemain-pemain Harimau Malaya yang lain akan menjalani kuarantin Covid-19 selama 14 hari sebelum dilepaskan kembali ke kelab masing-masing bagi menghadapi baki kempen Piala Malaysia 2021.

Follow laman Facebook kami supaya tak terlepas perkembangan terbaru Selangor FC.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.